AL-QURAN EXPLORER

Quran Explorer - Interactive Audio Recitations & Translations

HARI KELUARGA DI CAMERON HIGHLANG: 18 & 19 DIS. 2009

Sabtu, 27 Februari 2010

MAULIDUR RASUL

Sekali lagi pada tahun ini pada 12 Rabiulawal 1431 bersamaan 26 hb. Feb 2010 kita sebagai umat Islam di seluruh dunia menyambut hari kelahiran junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW.

Bukan setakat memperingati dengan berarak saja, tapi hendaklah mengikut segala ajaran dan sunnah yang dibawanya, iaitu ugama ISLAM yang syumul.

Marilah kita sama2 kita menghayati pesanan terakhir junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW semasa beliau mengerjakan Haji terakhir iaitu Hajjatul Wada'.

KHUTBAH TERAKHIR NABI MUHAMMAD SAW.

Mari kita bersungguh-sungguh mengamalkan amanah terakhir Junjungan Nabi SAW ini agar kekal nikmat diakui sebagai umatnya di akhirat kelak.

Khutbah ini disampaikan pada 9 haribulan Zulhijjah tahun 10 hijrah di Padang Arafah.

Wahai manusia!

Dengarlah baik-baik apayang hendak aku katakana ini. Aku tidak mengetahui apakah aku akan bertemu lagi dengan kalian selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini. Dan sampaikanlah kepada orang-orang yang tidak hadhir di sini pada hari ini.

Wahai manusia!

Sapertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Islam itu amanah yang suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah! Kamu pasti menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan atas segala amalan kamu. ALLAH telah mengharamkan riba. Oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang. Waspadalah terhadap syaitan, demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara yang besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutnya dalam perkara-perkara yang kecil.

Wahai manusia!

Sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas isteri-isterimu, maka mereka juga mempunyai hak ke atas diri kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas diri kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih saying. Layanlah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia dan hak kamu ke atas mereka ialah, mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan ziana.

Wahai manusia!

Dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini. Sembahlah ALLAH. Dirikanlah solat lima waktu sehari semalam. Berpuasalah di bulan Ramadhan dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaanmu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap orang Islam yang lainnya. Kamu adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan beramal soleh. Ingatlah! Kamu akan menghadap ALLAH suatu hari nanti untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah! Agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia!

Tidak ada lagi nabi dan rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya. Iutlah al-Quran dan sunnahku ini. Hendaklah orang yang mendengar ucapanku ini menyampaikannya kepada orang lain. Semoga orang yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah ya ALLAH, bahawsanya aku telah sampaikan risalah Mu kepada hamba-hamba Mu.


Selasa, 23 Februari 2010

KENDERAAN PERTAMA AKU DAN NOSTALGIA SEMASA DI LANGKAWI


Aku sedang basuh motor(baru lagi katakan) depan kuarter JKR Langkawi.

Ini lah kenderaan pertama yang aku miliki dan dibeli dengan duit sendiri. Aku beli masa dapat tunggakan gaji aku selepas 3 bulan aku mula bekerja. Masa tu sedang dok gila motor scrambler. Aku beli pada tahun 1981 dengan harga RM 2,400.00 saja, aku bayar pendahuluan RM 1,000.00 dan bakinya secara bulanan sebanyak RM 60.00/sebulan. No pendaftaran ialah KM 494.

Selepas 1 tahun 3 bulan beli motor baru aku kena tukaq pi kerja di JKR Langkawi pada akhir dis. 1980 dan aku pun bawa juga la motor tu pi sana. Aku kerja di sana selama 1 tahun 6 bulan saja(Jan 1981 - Jun 1982) dan selepas itu aku dapat melanjutkan pelajaran ke UTM, Kuala lumpur. Masa tu sapa pun tak mau pi ke Langkawi, hari minggu saja aku dan kawan2 kena sakit jiwa, pasai tak tau nak pi mana, bukan macam la ni.

Kalau nak pi sana masa tu, kena naik feri di Kuala Perlis saja, itu pun 2 perjalanan saja sehari pada jam 10.00 pagi dan 12.00 tgh. Kalau terlepas feri jawab nya esok la baru boleh pi, tu pun feri jenis open air, motor pun naik sekali dengan kita. Masa tu orang nak jual tanah RM 500.00/satu relong pun aku tak mau beli, pasai dok fikir bila nak boleh balik kerja di tanah besar.

Bas mara pun ada 2 buah, jalanraya tak banyak mana pun, tak la macam la ni. Pulau tu bukan besar mana pun, kalau kita pegawai kerajaan 1 pulau orang boleh kenai kita. Bekalan letrik pun masih pakai generator, hanya pada tahun 1981 baru stesen janakuasa dibina dan di ambil dari tanah besar. Hanya selepas Langkawi di istiharkan sebagai pulau bebas cukai baru lah perubahan berlaku, itu pun selepas lebih 20 tahun.


Ahad, 21 Februari 2010

KELEBIHAN DAN FAEDAH SOLAT

Gambar hiasan


KELEBIHAN DAN FAEDAH SOLAT.

Solat akan menerangkan hati.

Solat akan dapat mencahayakan wajah.

Solat membuahkan berasa redha terhadap Tuhan yang Maha Penyayang.

Solat membuat syaitan berasa marah

Solat menjadi penolak bala.

Solat menghulangkan kejahatan musuh.

Solat memperbanyakkan rahmat.

Solat menolak siksa kubur dan siksa di hari akhirat.

Solat mendekatkan diri dengan ALLAH.

Solat mencegah segala yang keji dan mungkar.

25 kelebihan solat sapertimana disabdakan oleh Rasulullah SAW iaitu:

1. Solat menghasilkan keredhaan ALLAH.

2. Solat membuahkan kasih saying para malaikat.

3. Solat adalah jalan oleh para Nabi dan Rasul.

4. Solat adalah cahaya makrifat.

5. Solat adalah asal makrifat.

6. Solat membuatkan ALLAH SWT memakbulkan akan doa yang dipanjatkan.

7. Solat merupakan sebab diterimanya segala amal yang lain.

8. Solat dapat memurahkan rezeki.

9. Solat menjadikan badan sihat.

10. Solat menjadi pelindung terhadap semua musuh.

11. Solat membuat syaitan berasa benci.

12. Solat menjadi syafaat bagi seseorang dalam menghadapi sakratulmaut.

13. Solat adalah penerang di dalam kubur.

14. Solat menjadi hamparan berbaring.

15. Solat menjadikan seseorang dapat menjawab pertanyaan Munkar dan Nakir di alam kubur.

16. Solat membuat seseorang berada selesa di dalam kubur sehingga hari kiamat.

17. Solat menjadi naungan di atas kepala dari panas matahari di hari kiamat.

18. Solat menjadi mahkota di atas kepala.

19. Solat menjadi pakaian badan.

20. Solat menjadi lampu penerang di depan ketika berjalan.

21. Solat menjadi pendinding dari api neraka.

22. Solat menjadi hujjah.

23. Solat memberatkan timbangan amal kebajikan.

24. Solat dapat membantu kita melintasi jalan di Titian Sirat al-Mustaqim di hari akhirat.

25. Solat dapat membukakan pintu Syurga.

Dipetik dari Majallah Anis : muka surat 24 terbitan Januari 2010.



Khamis, 18 Februari 2010

DI SALIN DARI BLOG USTAZ AHMAD AWANG

Selasa, Jun 30, 2009

Cerita Harussani Di Sebalik Peristiwa


Tajuk di atas dipetik dari artikel majalah Milenia Muslim (MM) Bil. 82 keluaran bulan Mei lepas. Ia merupakan tajuk Fokus keluaran berkenaan yang ditulis oleh editor majalah berkenaan, Zulkafly Baharuddin, hasil temubual beliau dengan Dato' Seri (kini Tan Sri) Harussani Zakaria (TSHZ). Di antara lain, kandungan artikel tersebut dipetik:

"Sekembalinya ke Ipoh, Dato' Seri Harussani menemui Ustaz Ahmad Awang. Ustaz Ahmad berkata beliau tidak akan mahu bekerjasama dengan mereka yang zalim. Bagaimana beliau boleh menganggap sedemikian walhal mereka yang beliau tuduh zalim itu adalah orang Melayu beragama Islam tetapi Ustaz Ahmad lebih bekerjasama dengan orang kafir.

Hasil dari keengganan Ustaz Ahmad adalah senario politik di Perak hari ini. Ikuti luahan pandangan beliau, terhadap beberapa peristiwa yang berlaku di Perak hari ini ..."

Saya tidak berhajat dalam posting ini menjawab pelbagai isu yang dibangkitkan oleh TSHZ dalam majalah berkenaan kerana jawapan saya mengenainya akan disiarkan oleh majalah MM dalam keluaran Ogos akan datang seperti yang dijanjikan penerbitnya. Memang saya tidak berpuashati atas kelewatan menyiarkannya, walhal Datuk Hj Mohamad Nakhaie Hj Ahmad, penaung majalah berkenaan bersetuju temubual dengan saya itu akan disiarkan dalam keluaran Jun atau Julai. Tunggulah jawapan dan pandangan saya mengenai luahan TSHZ nanti.

Apa yang saya nak tulis di sini adalah mengenai cerita Harussani di sebalik peristiwa masa lalu di antara saya dengan beliau. Di sini suka saya nyatakan di antara saya dan TSHZ tidak ada sebarang masalah peribadi. Hubungan baik kami tidak pernah terganggu dengan perbezaan pendapat dan fahaman politik. Saya sejak dari kolej sudah menjadi pendokong PAS walaupun saya belum menjadi ahli. Kami sering berbeza pendapat mengenai isu-isu semasa samada berkaitan politik, hukum-hakam, undang-undang dan sebagainya. Tetapi adakalanya pula kami sependapat dan sependirian dalam isu-isu seperti gejala murtad, gejala sosial dan keruntuhan akhlak, isu kumpulan anti-hadith, isu pendidikan Islam dan sebagainya.

Latarbelakang Peribadi
Mengenai latarbelakang peribadi, kami kebetulan sama-sama berasal dari daerah Kerian, Perak. Saya dilahirkan di Simpang Ampat Semanggol, manakala TSHZ berasal dari Jalan Baru, Parit Buntar. Perbezaan usia kami juga tidak jauh, umur saya 73 manakala Harussani 70. Seperti kebanyakan penduduk Kerian, kami berasal dari rumpun keturunan Banjar (Al-Banjari). Dalam kad pengenalan sebelum merdeka dahulu tertulis di dalam bahasa Inggeris "Malay Banjarese". Dahulunya keturunan Banjar sangat kuat berpegang kepada agama dan ramai yang menjadi ulama'.

Kami mula berkenalan semasa sama-sama menuntut di Kolej Islam Malaya Klang, Selangor. TSHZ adalah penuntut junior saya, kerana beliau memasuki kolej pada 1960 manakala saya sudah berada di tahun akhir dan menamatkan pengajian pada tahun akademik 1961. Setelah tamat pengajian di Universiti Al-Azhar Kaherah, saya balik ke tanah air bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Aminuddin Baki Kuala Lumpur. Ketika itu saya mendapat tahu TSHZ baru saja berpindah ke Pulau Pinang menjawat jawatan Kadhi Besar negeri itu. Sebelum itu beliau bertugas di Bukit Aman dengan PDRM (jawatan beliau saya tidak tahu).

Semasa beliau menjadi Kadhi Besar Pulau Pinang (1966-1984?), beliau aktif berceramah dakwah di Pulau Pinang, Kedah dan Utara Perak. Seingat saya, ketika itu kami belum berbeza pendapat secara yang ketara mengenai isu-isu semasa. Saya masih ingat beliau pernah berkata: "Kita berdua ni sama dianggap sebagai pembangkang kerana pendapat kita yang tegas mengenai isu-isu umat Islam." Waktu itu saya duduk dalam kereta yang beliau memandunya untuk kami pergi ke satu tempat di Pulau Pinang. Saya ketika itu bertugas sebagai Pengarah Dakwah dan Latihan Islam, Bahagian Agama JPM (kini JAKIM).

Berbeza Pendapat
Sebaik sahaja beliau dilantik menjadi Mufti Kerajaan Negeri Perak, mula kelihatan pandangan dan pendirian TSHZ berubah dan berbeza pendapat dengan saya. Antaranya, ikuti beberapa peristiwa seperti berikut:
  • Peristiwa 1: Ketika berlangsung upacara istiadat pertabalan DYMM Sultan Perak, Sultan Muhibbuddin Azlan Shah Ibnu Al-Marhum Sultan Yusuf Izzuddin Shah (25 tahun yang lalu), saya menghubungi beliau yang baru menjawat jawatan mufti ketika itu meminta beliau menasihati pihak istana supaya tidak melakukan upacara-upacara yang boleh menjejaskan aqidah. Malah saya mencadangkan supaya majlis fatwa mengkaji dan membincangkan istiadat-istiadat yang bercanggah dengan aqidah itu dihapuskan. Beliau menolak cadangan saya sambil mengatakan beliau telah berjaya membatalkan beberapa upacara dalam istiadat tersebut, walhal sebelum itu beliau mempunyai pendirian yang tegas dalam hal-hal seperti ini.
  • Peristiwa 2: Pada suatu hari, saya menelefon TSHZ dari pejabat saya di bangunan Pusat Islam di Jalan Perdana, Kuala Lumpur. Perkara yang saya bangkitkan ialah tindakan polis menangkap imam dan bilal sebuah masjid di Perak dalam daerah Larut. Tindakan polis itu dibuat kerana kedua-dua pegawai masjid berkenaan dikatakan tidak mempunyai tauliah. Tetapi mereka ditangkap di bawah Akta Kesalahan Agama di bawah undang-undang sivil. Saya minta beliau menasihati pihak polis supaya tidak melakukan tindakan tersebut kerana kes berkenaan adalah di bawah bidangkuasa (jurisdiction) Undang-undang Pentadbiran Agama Islam Negeri. Akan tetapi beliau tidak melayani pandangan saya itu. Kedua-dua orang pegawai masjid itu kemudiannya dibicarakan di bawah Akta berkenaan dan dijatuhkan hukuman penjara. Saya di antara orang yang sangat kuat menentang Akta tersebut yang kemudiannya beberapa tahun setelah dilaksanakan, Akta tersebut terbatal dengan sendirinya kerana sebuah Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur memutuskan penghakiman bahawa ianya ultra vires dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai agama Islam.
  • Peristiwa 3: Tragedi Berdarah Memali 1985. Dalam mesyuarat khas Majlis Fatwa Kebangsaan, di mana TSHZ merupakan seorang anggota yang sangat aktif memberi pendapat bahawa mangsa Tragedi Memali, khususnya Asy-Syahid Allahyarham Ibrahim Mahmud (yang lebih dikenal dengan Ibrahim Libya) adalah merupakan kumpulan bughah (penderhaka) dan mereka tidak dianggap mati syahid. Maka wajib dimandi, dikafan dan disembahyangkan sebelum dikebumi. Anehnya sebahagian besar mufti-mufti dalam mesyuarat itu mencadangkan supaya nama mereka yang mati korban tragedi itu tidak perlu disebut dengan lafaz Allahyarham dengan alasan mereka itu penderhaka. Padahal, apabila mereka itu disembahyangkan, maka doa yang menjadi rukun solat jenazah itu adalah memohonkan rahmat dan keampunan kepada mereka yang disembahyangkan. Saya turut hadir dalam mesyuarat tersebut dan memberi hujah mengapa Allahyarham dan kumpulannya adalah mati syahid. Akibatnya saya diusir keluar dari mesyuarat tersebut.
  • Peristiwa 4: Suatu hari kami berdua menjadi panel forum anjuran Jam'iyah Dakwah Islamiyyah Perak. Ketika itu saya adalah YDP Jam'iyah Dakwah Islamiyyah Selangor dan Wilayah Persekutuan. Saya kurang pasti samada TSHZ ketika itu menjadi YDP Jam'iyah Dakwah Perak. Dalam forum yang diadakan di dewan Jam'iyah Perak di Jalan Seruan, Ipoh, saya berbeza pendapat dengan beliau mengenai beberapa isu semasa, terutama mengenai peraturan yang menyekat kebebasan dakwah di masjid-masjid atau surau-surau. Saya menegaskan bahawa undang-undang bersabit dengan tauliah mengajar/berdakwah tidak semestinya dikenakan ke atas pendakwah yang sudah dikenali mempunyai ilmu Islam dan beramal dengannya, kerana undang-undang itu diwujudkan hanya untuk mengawal supaya ajaran yang bathil dan sesat tidak disebarkan kepada orang Islam. Beliau tidak bersetuju dengan pendapat saya dengan memberi alasan bahawa jika tidak dikawal dengan undang-undang tauliah, maka masyarakat akan berpecah-belah akibat fahaman politik dibawa ke masjid-masjid. Pendapat beliau, fahaman politik hendaklah di"sangkut" di pagar masjid dan jangan dibawa ke dalam masjid. Saya pula berhujah bahawa politik tidak boleh dipisahkan dalam dakwah, yang boleh dielakkan hanyalah politik kepartaian tidak terbawa-bawa dalam berdakwah di masjid/surau. Akhirnya, TSHZ sendiri dilarang berdakwah/berceramah di masjid atau surau di Lembah Klang dua tahun yang lalu apabila beliau sering membangkitkan isu murtad dan mendakwa ratusan ribu orang Islam telah masuk Kristian atau Hindu.
  • Peristiwa 5: Yang terkini apabila beberapa orang pemimpin DAP Perak seperti Nga Kor Meng dan PKR Perak seperti Chan Ming Kai sering memetik keterangan-keterangan dalam Al-Quran dalam ceramah-ceramah politik mereka, timbullah isu hukum membaca Al-Quran oleh non-muslim. Tiba-tiba Mufti Perak mengeluarkan pendapat beliau (bukan fatwa) bahawa orang bukan Islam "haram"/tidak boleh membaca Al-Quran. Saya pula berpendapat sebaliknya dengan bersandarkan beberapa hujah termasuk bukti surat Rasulullah saw yang dihantar kepada Maharaja Hercules, Raja Rom Benzantina. Dalam surat tersebut, Rasulullah saw menuliskan ayat 64, surah Ali-Imran, yang sudah pasti ayat itu akan dibaca oleh Hercules. Sekiranya orang bukan Islam tidak dibenar membaca ayat Al-Quran, maka Rasulullah saw tidak akan menuliskannya dalam surat Baginda itu. Banyak lagi hujah saya yang boleh diikuti dalam majalah Al-Islam keluaran Bil. 426 Jun 2009.
Demikianlah di antara cerita di sebalik peristiwa Harussani dengan saya. Ada lagi beberapa contoh peristiwa perbezaan pendapat di antara kami berdua, namun perkara yang paling penting membezakan Ahmad Awang dan Harussani ialah pegangan dan fahaman politik kami masing-masing. Saya tidak pernah menyembunyikan pegangan politik Islam saya semenjak belum menjadi ahli PAS lagi. Semasa saya memegang jawatan Pegawai Kerajaan tidak pernah saya menyembunyikan pegangan saya. Manakala Harussani berpegang kepada fahaman politik Melayunya. Saya katakan politik Melayu bukan politik Islam. Walaupun beliau sering membangkitkan isu Islam, tetapi dasarnya adalah Melayu yang menjadi dasar perjuangan UMNO.

Contoh paling jelas apabila beliau yang mendakwa tidak berpolitik atau tidak memihak kepada mana-mana parti politik, tapi begitu bersungguh-sungguh mengajak PAS bergabung dengan UMNO menubuhkan kerajaan Melayu di Perak sebaik sahaja UMNO/BN gagal membentuk kerajaan selepas keputusan PRU Ke-12 diumumkan sepenuhnya menjelang jam 12 malam 8 Mac 2008. Atas arahan Dato' Seri DiRaja Tajol Rosli, Ketua Perhubungan UMNO Perak (waktu itu), beliau bersusah payah pada malam itu ketika hujan lebat bertolak dengan kereta ke Kota Bharu menemui Mursyidul Am PAS, Tok Guru Nik Aziz dan pada esok paginya pula menghubungi Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Hadi untuk tujuan mendapat persetujuan mereka. Tapi kedua-duanya menolak dengan mudah dan memberikan alasan tertentu. Sekembalinya Harussani ke Ipoh, beliau menghubungi saya melalui telefon (bukan berjumpa seperti yang ditulis dalam artikel majalah MM berkenaan). Saya menolak tawaran UMNO yang dibawa oleh Harussani dengan memberikan alasan dan hujah yang beliau tidak dapat menyanggahnya. Ikutilah penjelasan saya dalam majalah Milenia Muslim keluaran Ogos akan datang seperti yang dijanjikan penerbitnya.

Dari cerita di sebalik peristiwa yang tersebut di atas, jelaslah bahawa Tan Sri/Dato' Seri Hj Harussani Zakaria adalah seorang mufti yang berpolitik dan parti yang didokongnya ialah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang lebih dikenal dalam bahasa Inggerisnya dengan United Malay National Organisation (UMNO).

Khamis, 11 Februari 2010

KENANGAN LALU

Keluarga aku sekarang. Kenangan akhir bersama arwah bonda kami pada Raya Puasa 2003. Semuanya ada menantu lelaki/perempuan serta cucu-cucu kecuali ayah aku.

Dari kiri ke kanan: Pak Ngah Kasa(songkok putih) dukung anaknya Man, adik ku Maznah, Faridah, Ghafar(ayah aku dukung) dan ayah ku(Hj Zakaria, songkok hitam), Mak Ngah ku Hjh Sopiah, adik ku Wie, arwah bondaku(Hjh. Khadijah) dan berdiri di depan adikku Fauziah.

Salam,

Gambar ni aku perolehi dari adik ku Jamaludin yang tinggal di Jitra semasa aku menziarahi anak keduanya Nor Hasni yang akan melanjutkan pergi pelajaran ke Brisbane, Australia pada 10 .02.2010 yang lalu. Dia mendapat gambar ini yang tersimpan di dalam album di rumah bapa saudara sepupu arwah mak aku yang tinggal di Kg.Pandan Kuala lumpur. Gambar ini tiada dalam simpanan kami. Aku dapat agak ianya di rakamkan pada tahun 1975 kerana umur adik aku Ghafar berumur satu tahun masa tu,dan sekarang ini dia telah menjangkau 36 tahun.

Aku dan adik ku Jamaludin tiada dalam gambar sebab masa tu kami belajar dan tinggal di asrama. Masa tu kami baru ada tujuh beradik dan hingga sekarang yang tinggal 9 beradik saja dan yang ke 10 meninggal selepas emak aku bersalin yang tak sempat diberi nama pun. Selepas itu Alhadulillah kami dikurniakan dua orang lagi adik iaitu Zulikifli dan Hayie dan semuanya seramai sembilan beradik. Syukur kepada ALLAH yang telah memberi rezki kepada kedua ibu/ayah sehingga dapat membesar dan memberi pelajaran kepada kami dengan bekerja sendiri yang pendapatan tak seberapa pada masa tu sehingga kami semua telah bekerja sekarang ini.

Yang sulung aku la telah bekerja sebagai er....er..di Sg.Petani, kedua Jamaludin di Airod Alor Setar, ke tiga Faridah sebagai guru di Parit Panjang, ke empat Maznah sebagai sururumah, kelima Wie sebagai guru di Kuala Terengganu, ke enam Fauziah sebagai pensyarah di UTM Skudai(bercuti mengikut suami bekerja di Doha, Qatar), ke tujuh Abd Ghafar sebagai guru di Kulim, kelapan Zulkifli sebagai guru di Kupang dan ke sembilan Hayie sebagai guru di Baling.

Alfatihah untuk arwah mak aku, semoga ALLAH mencucuri rahmat ke atas rohnya dan diletakkan di kalangan orang2 yang beriman, amin.

ZAMAN PERSEKOLAHAN KU

Gambar kelas tingkatan 5c Sains Tulin Tahun 1976.
Aku barisan ke 2, hujung sekali(kiri) paling kecil.
Guru kelas kami, Cekgu Hamidah dan Guru Besar, Cekgu Kairul Faizi bi Khalid Abas

Bersama dengan kawan2 di depan asrama.


Gambar kiri: Aku dan Yadin. Kanan : Aku dan Shaari


Salam,

Aku memulakan persekolahan ku dalam tingkatan 4 & 5 (tahun 1975/76) di sekolah menengah Khir Johari, Sg. Petani. Sebelum itu semasa di tingkatan 1 hingga 3 aku di sekolah menengah Kuala Pegang, Baling. Pada masa tu kami yang boleh kata terra juga la yang dapat kurang 15 aggregate dapat masuk ke aliran sains dapat masuk sekolah Menengah Khir Johari. Tapi budak2 la lagi terra dapat sampai 12A pun belambak.

Semasa di SMKKJ aku ada juga beberapa kenangan yang tak dapat aku lupakan sepanjang dua tahun di sana. Kenangan tu sampai la ni aku masih ingat.

Peristiwa Pertama: Bila masuk ke tkn 4 kami budak2 baru (Freshe) katakan mesti melalui minggu orentasi. Budak2 lama (senior) punya la ragging kami, macam2 depa buat, tapi tak la sampai patah kaki tangan. Pada malam terakhir di adakan malam penutup minggu orentasi, di mana tiap2 orang mesti ambil bahagian. Aku kena paksa ambil pertandingan Mr. Kurus dalam bahasa Inggeris aku dah lupa istilah depa pakai.

Aku pun mula la buat latihan di asrama(Macam Body Builder) dengan pakai seluar pendek tanpa baju. Masa tu zaman jahiliah lagi(Hukum Halal dan haram dah tau dah, tapi kena paksarela)nak buat macam mana), umur pun baru masuk 18 tahun, tapi malu juga la, pasai tak pakai baju kena naik atas pentas. Malam tu aku punya ketaq bila naik atas pentas, aku pun punya tunjuk action dengan berbagai gaya aku hentam saja la, ikut suka apa yang patut. Bila sampai masa pengumuman di buat tut tut aku di nobatkan sebagai juara Mr. Kurus pada malam tu, seronok juga dapat hadiah.


Aku, wakil sekolah dalam sepak takraw, jadi tekong saja, pasai kecil/pendek nak lipat maut tak boleh pasai kecil/pendek


Peristiwa Kedua: Aku dpilih mewakili sekolah dalam pertandingan sepak takraw antara sekolah2. Pada pusingan pertama lagi pasukan kami telah di tunjuk jalan keluar oleh pasukan Sek. Men. Sains Sultan Mohd Jiwa, tengok la gambar tu aku jadi tekong saja.


Peristiwa Ketiga: Kenangan yang ni la yang paling tak bolih lupa. Suatu malam masa prep(Belajar malam dari jam 8.00 hingga 10.00), aku dan seorang kawan aku, kalau tak silap, Yadin namanya(Ada dalam gambar di atas). Kami dua orang tengah dok sembang rancak la dah tu gelak pula kuat, masa tu juga cekgu asrama(Chegu Mansur) lalu, maka apa lagi bila nampak saja dia pun panggil kami keluar kelas pi kat koridor. Tanpa banyak soal dia tibai kami dua orang kat punggung sorang 3 kali.


Yang paling kami malu sekali pasai di blok bersebelahan tingkat satu budak2 perempuan pakat dok tengok kami, cukup clear punya show. Esok nya kami ingat pakai habis kat situ saja, pulak tu chegu besar panggil kami pi dalam dewan di pun balun pulak seorang 3 kali kat tempat yang sama. Mujur juga kami saja yang ada. Chegu Mansur pun dah meninggal(Alfatihah) semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.


Lepas dari peristiwa tu aku tak buat lagi perangai macam tu, pulun punya pulun SPM pun clear juga dan kalau tak pasai tu aku pun tak tau nak jadi apa. Alhamdulillah aku pun telah berjaya sampai ke hari ni. Weh Sobri kalu mu baca peristiwa ni mu mesti ingat balik, yang kena tibai tu betui ka aku dengan Yading, kalu bukan dengan sapa ha. Aku pun bukan jahat sangat(nakal saja), cuma masa study malam, dah la tak mau nak study betoi2, dok sembang pulak dan gelak kuat sampai ganggu orang lain, memang patut la kena tibai..


Hingga ke hari ini peristiwa2 tu masih lagi dalam ingatan ku walau pun telah 34 tahun berlalu

Aku nampak kepala saja,
yang pakai baju kulit kuda belang tu, Sobri Cek Ros.


Aku paling atas(nampak kepala saja)

Semasa hari sukan sekolah.
Budak yang dok tunjuk tangan tu la, Sobri Cek Ros(Kartunis) masa tu


Aku, atas sekali tengah

Gambar ni tepi kolam kat dewan SMKKJ, tapi la ni dah tak ada dah. Budak yang sua kaki dalam air tu la, dah jadi Pengetua Sek Sains Sulatan Mohd Jiwa sekarang. nama Tuan Hj Rusdin.

Aku atas sekali tengah.