AL-QURAN EXPLORER

Quran Explorer - Interactive Audio Recitations & Translations

HARI KELUARGA DI CAMERON HIGHLANG: 18 & 19 DIS. 2009

Rabu, 24 Mac 2010

ISTIMEWA SOLAT TAHAJUD

Salah satu amalan yang tidak pernah ditinggalkan Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian baginda adalah solat Tahajud. Ketika orang lain dibuai mimpi, baginda SAW bangun menghadapNya dengan rintihan dan tangisan. Apabila ditanya Sayidatina Aisyah r.a., mengapa seorang nabi yang pasti dijamin syurga perlu menangis dan merintih lagi, maka Rasulullah SAW menjawab, baginda hanya mahu menjadi hambaNya yang bersyukur.

Solat sunat Tahajud umpama tol menuju Allah SWT. Baginda SAW telah menyebutkan hikmah Tahajud yang bermaksud:

"Setiap dua pertiga malam terakhir, Allah akan turun ke langit dunia sambil berseru, 'Hamba-Ku yang malam ini menjauhkan rusuknya dari tempat tidur kerana mendirikan solat Tahajud, Aku berasa malu padanya sekiranya Aku tidak mengampunkan dosanya, mengabulkan doanya dan memberikan apa yang mereka minta. Solat sunat yang utama selepas solat fardu adalah solat Tahajud."

Oleh itu, malangnya bagi mereka yang mengetahui hikmah dan kelebihan Tahajud tetapi tidak mengamalkannya secara rutin. Umpama, menolak hadiah dan anugerah yanag mahu dikalungkan ke lehernya.

Sabtu, 6 Mac 2010

MENDERHAKA KEPADA IBU BAPA - SATU DOSA BESAR

gambar hiasan

MENDERHAKA KEPADA IBU BAPA – SATU DOSA BESAR

Daripada Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As r.a., bahawa sesungguhnya Rasullullah SAW bersabda: “Sesungguhnya diantara dosa-dosa besar ialah seseorang itu melaknat (mencaci maki) kedua-dua orang tuanya (ibu bapanya),” lantas ditanyakan kepada baginda: “Wahai Rasulullah, bagaimanakah seseorang boleh melaknat (mencaci maki) ibu bapanya sendiri?”. Lalu Rasulullah SAW menjawab: “Seseorang melaknat (mencaci maki) ibu atau bapa orang lain (kerana sebab-sebab tertentu), maka orang tersebut membalas cacian itu dengan mencaci maki (melaknat) ibu bapa yang mencacinya”.

Berdasarkan kepada hadis tersebut juga maka dapat disimpulkan bahawa Isalam bukan sahaja menjadikan perbuatan menderhaka kepada ibu bapa sebagai dosa besar, malah perbuatan mencaci maki, laknat melaknat yang menbabitkan mereka juga dikategorikan sebagai dosa besar.

Caci maki ibu bapa orang lain, serupa mencaci ibu bapa sendiri. Sesorang mungkin tidak menyedari bahawa dengan mencaci maki ibu bapa orang lain juga dikira seolah-olah mencaci ibu bapa sendiri. Itu semua tidak sepatutnya berlaku di kalangan orang-orang yang mengaku beriman kepada ALLAH dan hari akhirat.

Penyebab Anak Derhaka

Kisah-kisah melawan ibu bapa dengan kata-kata kesat saperti sudah menjadi perkara biasa di kalangan generasi muda hari ini. Lebih menakutkan nyawa ibu bapa bagaikan ayam yang sudah disembelih kemudian dilemparkan sesuka hati. Malah ada juga kes membuang ibu ayah macam guna lampin pakai-buang!. Langsung tak membekas rasa sayang, apa lagi takut akan jadi derhaka dan dimurkai ALLAH.

Perkara yan g mesti dilihat:

1. Semak punca rezki. Banyak rezki tak berkat. Dulu ibu bapa miskin tapi rezki berkat.

2. Apabila membeli makanan untuk anak-anak fikirkan cara penyediaannya adakah benar-benar halal dan baik.

3. Doa yang tak makbul – ia berkait dengan sumber rezki yang kita cari.

4. Tak betul cara berdoa – segala lintasan buruk di kepala kita terhadap anak, doa anak melalui sumpah seranah, maki hamun, umpat keji dan cerca nista.

5. Tidak berdoa langsung – tidak pernah terfikir hendak berdoa untuk anak dan tak kisah apa nak jadi terhadap anak.

6. Hubungan dengan ALLAH rapuh – amal ibadat tidak konsisten, buat ikut suka sempat.

7. Hati ibu bapa mungkin kotor dengan ALLAH – selalu Sangka buruk dengan ALLAH.

8. Derhaka ibu bapa terhadap orang tua mereka – ini antara sebab anak kita jadi derhaka dengan kita sebab kita pernah menderhakai ibu bapa kita. Ini pembalasan ALLAH untuk mengingati kembali kesalahan yang pernah kita buat terhadap orang lain.

9. Suasan rumah tabgga hiburan – suasana zaman sekarang di dalam rumah sudah banyak suasana hiburan di mana budaya hedonisme iaitu budaya sukakan hiburan yang disiarkan melalui TV.

10. Pendidikan yang ada hari ini tidak seimbang – pendidikan membentuk akal jadi pintar, jadi orang berilmu serius diperjuangkan. Ramai yang pintar tapi tidak pintar mengurus rohaninya, jadi sombong.

11. Bangga buat salah, takut buat baik – Zaman sekarang dunia sudah berubah, berani kerana salah, takut kerana benar. Bangga buat salah, buat kemungkaran depan mata awam, berpeluk cium depan khalayak, tapi tidak ada yang berani hendak tegur takut akan diancam diri dan keluarga. Lau jadilah kehidupan ‘engkau, engkau, aku, aku’.

12. Ibu bapa cakap tak serupa bikin – Anak-anak tidak belajar dari apa yang ibu bapa cakap, mereka belajar dari apa yang ibu bapa buat. Kalau ibu bapa bergaduh depan anak, anak pula akan berani bergaduh dengan adik-beradik, bergaduh dengan kawan-kawan. Berani keluar kata kesat, maki-hamun macam emak ayah buat.

13. Kita tidak menyayangi kanak-kanak, Nabi SAW berpesan, “ Bukan dari umatku kalau orang tua tak sayang orang muda.” Nabi berpesan dalam mendidik anak-anak hendaklah berlemah-lembut tapi bukan bermakna bersenang-senang.

14. Sayang anak cara salah. Beri kemewahan, bagi duit tapi tak ajar cara mengurus duit, tak bagi doa peneguh jiwa. Kita rotan anak malas belajar tapi tak rotan anak kalau malas solat lima waktu. Ramai ibu ayah yang tidak kejut anak Solat Suboh cuti hujung minggu sebab kasihan anak letih belajar.

15. Getaran songsang. Kita sibuk memikirkan masaalah anak nakal dan malas. Kita marahi mereka tetapi kita tidak cari kekuatan dalam diri mereka yang patut dirai dan dicungkil bakatnya. Kita hendak anak pandai tetapi asyik kutuk kelemahannya. Inilah yang dikatakan getaran songsang, getaran tidak serasi. Jika kita hendak anak jadi baik dan pandai, tumpukan kepada sifat positif ini supaya anak rasa terbela dan bangga dirinya diraikan.

16. Emosi ibu dan bapa semasa anak dalam kandungan.

17. Tidak berzakat. Setiap harta yang ada perlu dirujuk kepada pihak yang berkenaan untuk dinilai jumlah zakat. Jangan disorok atau kerana telah membayar cukai pendapatan zakat diabaikan.

18. Sihir dan Saka. Antara kesan saka ialah menyebabkan seseorang itu malas solat dan selalu bergaduh, rumah tangga tidak tenteram.

Langkah Pembaikan Diri Ibu Bapa:

1. Jaga keterampilan ibu bapa – Jaga keterampilan ibu bapa di depan anak. Minta pada ALLAH supaya perelokkan akhlak dan kejadian kita. Saperti doa yang terkandung ketika kita hendak melihat cermin, “Ya ALLAH, sebagaimana Engkau perelokkan kejadianku, maka Engakau perelokkan akhlakku.” Jaga budi pekerti dan kesantunan diri supaya dikasihi ALLAH dan makhluk seluruhnya.

2. Kemaskan solat, perbanyakkan beramal dengan amalan-amalan sunat dan doa – kerana para Nabi sendiri pun berdoa, jadi siaplah yang sombong tetapi miskin dan malas hendak berdoa. Nabi ibrahim a.s juga beroda merangsang diri dan keluarganya agar jaga solat. Doanya di dalam al-Quran, surah Ibrahim ayat 40:” Ya Tuhanku, jadikan aku orang yang mendirikan solat, begitu pun anak-anakku. Ya Tuhan kami, dan perkenankanlah doaku.”

3. Apabila ada masaalh jangan cepat salahkan orang lain. Jangan cepat cari salah anak. Cari salah sendiri dulu. Ingat-ingatkan kembali pernahkah kita buat perkara yang sama pada orang lain. Cepat minta maaf dengan orang yang pernah kita buat aniaya, atau kita pernah derhaka dengan orang tua di kampong. Kalau mereka telah tiada, minta ampun dengan ALLAH atas dosa-dosa yang pernah kita buat. Mudah-mudahan dengan cara ini ALLAH selamtkan anak kita.

4. Biasakan bersedekah – Pasangkan niat yang baik-baik untuk diri, anak-anak dan keluarga ketika menghulurkan sedekah ke tabung masjid misalnya. Sedekah itu merawat berbagai masaalah. Insya-ALLAH bantu diselamatkan anak-anak kita dari bala bencana. Malaikat turut sama doakan kita. Untuk bersedekah, berilah yang terbaik bukan yang terburuk atau jumlah wang yang paling kecil. Kerana janji ALLAH kalau kamu bagi satu ALLAH akan balas sepuluh kali ganda.

5. Bantu Sedekah Untuk ALLAH. Maksudnya tolong hidupkan suasana di masjid, kalau masjid atau surau sunyi, kita meriahkan, ajak orang datang. Kalau surau bersepah, kiata ajak anak-anak tolong sama bersihkan. Kita buat dengan niat supaya orang seronok hendak datang ke rumah ALLAH. Jangan berkira kudrat yang dicurahkan.

6. Syang dan raikan anak-anak. Raikan juga kawan anak-anak. Kanak-kanak hatinya bersih dan doa mereka mudah terangkat.

7. Fokas kepada sifat baik anak, raikan kecenderongan baik dan minat mereka.

8. Jangan mengata orang lain, kerana apa yang dikatakan akan terpalit juga pada diri kita.

9. Jaga suasana dalam rumahtangga, hidupkan budaya ilmu dan perbincangan.

Fenomena Anak Derhaka- Muhasabah Kembali Cara Didikan

Setiap anak dilahirkan ke dunia ini berada dalam keadaan suci bersih atau dinamakan fitrah. Kedua ibu bapanya yang akan mencorak kehidupan atau keperibadian si anak sama ada mereka akan menjadi seorang Yahudi, Nasrani atau pun Majusi.

Berterskan hadis Rasulullah SAW di atas, para ibu bapa disaran agar menyemak kembali atau melakukan proses muhasabah kaedah pendidikan yang mereka terapkan pada anak-anak selama ini. Fenomena anak derhaka yang banyak terjadi pada hari ini boleh dikaitkan sebagai sebahagian tanda-tanda ahkir zaman.

Ini disebut dalam sebuat hadis Nabi diriwayatkan oleh Imam Tarmizi: Daripada Ali bin Abi Thalib r.a., Rasulullah SAW bersabda:”Apabila umatku membuat lima belas perkara, maka bala pasti akan turun kepada mereka iaitu:

1. Apabila harta negara hanya beredar pada orang-orang tertentu.

2. Apabil amanah dijadikan satu sumber keuntungan.

3. Zakat dijadikan hutang.

4. Suami memperturutkan kehendak isteri.

5. Anak derhaka terhadap ibunya.

6. Sebaliknya dia berbaik-baik dengan kawan-kawannya.

7. Dia suka menjauhkan diri dari ayahnya.

8. Suara sudah ditinggikan di dalam masjid.

9. Yang menjadi ketua satu kaum adalah orang yang terhina di antara mereka.

10. Seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya.

11. Khamar(arak) sudah diminum di merata tempat.

12. Kain sutera banyak dipakai oleh kaum lelaki.

13. Para artis disanjung-sanjung.

14. Muzik banyak dimainkan.

15. Generasi akhir umat ini melaknat(menyalahkan) generasi pertama(sahabat).

Maka ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi atau pun mereka akan diubah menjadi makhluk lain.”

Seorang anak juga perlu faham tanggungjawab mereka bertambah berat lagi sekiranya mereka punya orang tua yang sudah tua dan nyanyuk. Ini ditegaskan ALLAH Taala dalam surah al-Isra’ ayat 23:”Dan Tuhanmu telah memerentahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkattan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada perkataan yang mulia.”

Oleh itu, sebagai anak kita perlu yakin orang yang memuliakan kedua ibubapa, hidupnya akan diberkati. Rezki akan dimurahkan ALLAH. Sebaliknya bagi anak yang derhaka, hidupnya tidak berkat walau dikelilingi wang menimbun, hidupnya tetap tidak aman dan tenteram.

Tip Mendidik

Sebagai ibu bapa, kita perlu mengamalkan beberapa disiplin tertentu dalam mengemudi kehidupan rumahtangga, antaranya:

· Kawal rancangan televisyen – kita, ibu bapa hendaklah mengawasi apa-apa rancangan yang bersesuaian dengan peringkat umur anak-anak.

· Kawal permakanan – pastikan makanan yang kita bawa balik ke rumah adalah dari sumber yang halal lagi baik.

· Amalan makan bersama – Walau sibuk sekali pun kita pastikan dapat makan bersama dengan anak-anak.

· Kualiti masa bersama anak-anak - kita hendaklah meluangkan masa bersenda-gurau dan bermain bersama anak-anak. Yang penting kita ada masa untuk bersama-sama mereka.

· Selalu peluk anak – Nabi SAW insan pengasih yang selalu memeluk anaknya dan Baginda SAW pernah berkata, “ ALLAH Taala tidak akan merahmati mereka yang tidak merhmati insan yang kecil.”

· Berdoa – Setiap hari kita mesti doakan anak-anak kita apa lagi ketika sedang bersama-sama mereka. Seelok nya selepas solat berjemaah bersama-sama isteri dan anak-anak, ayah akan membaca doa. Tujuannya agar anak kita akan mendengar apakah doa dan pengharapan kita ibu bapanya kepada ALLAH yang Esa.

· Majlis perhimpunan keluarga untuk menerbitkan kasih sayang bersama .

· Amalkan sifat adil – Layani setiap anak sama rata tanpa mengira kelebihan dan kelemahan masing-masing. Selalu beri galakan pada mereka dengan kata-kata peransang. Keadilan bukan sahaja pada anak-anak tetapi keadilan pada diri sendiri. Sebagai ayah jangan malu mengaku kalau berbuat silap, berani mengaku dan minta maaf pada anak-anak.

· Didik anak minta izin – Didik mereka meminta izin jika mereka ada apa-apa keperluan atau hajat.

· Pantau anak-anak – Sebagai ketua keluarga kita perlu memantau perbuatan anak-anak, lihat sama ada dia benar-benar sudah solat lima waktu dan rajinlah bertanya.

· Akhlak bersama isteri – Jaga hubungan suami isteri dan akhlak di hadapan anak-anak. Jangan kita berkelahi suami isteri di hadapan anak-anak. Jangan menghina kesilapan masing-masing di dahapan anak-anak kerana itu semua akan mengurangkan rasa hormat mereka kepada orang tua mereka.

· Ceritakan pengorbanan ibu – tanamkan kesedaran pada anak-anak tentang pengorbanan ibu mereka. Galakkan mereka membalas jasa dan budi kepada ibu yang telah bersusah payah mengasuh anak-anak dari kecil hingga dewasa.

Siapa Derhaka Siapa

Mari kita renung dan menilai diri kita masing-masing di mana kedudukan kita dari kisah seorang ayah mengadu kepada khalifah Umar tentang anaknya yang derhaka:

“Seorang ayah datang mengadu kepada Khalifah Umar tentang anaknya yang derhaka. Kbu yang baik(keturunan baik). Khalifah Umar memanggil anaknya itu lalu memarahinya. Si anak pun menjawab. “Wahai Amirul Mukminin, tidakkah ada hak anak ke atas ayahnya? “ Khalifah pun menjawab, “ Ada. Memilih ibu yang baik(keturunan baik). Memberi nama yang baik dan mengajarnya al-Quran,” Si anak segera menjawab, “Ayah saya tidak pernah melakukan demikian. Ibu saya seorang zanjiyah (bekas kilt hitam), bekas isteri kepada seorang Majusi. Mereka menamakan saya Joul(lipas) dan belum pernah mengajar saya satu huruf pun dari al-Quran.”

Setelah mendengar jawapan anak itu, Khalifah Umar berkata kepada ayahnya.

“Engkau datang mengadu tentang anakmu derhaka, tetapi sebenarnya engkau telah menderhakakannya sebelum dia menderhakaimu. Engkau telah merosakkan dia sebelum dia merosakkanmu.”

Pesanan untuk isteri

Guru pertama seorang anak ialah ibu. Ibu kena tunjuk contoh baik sebab Allah telah mengangkat martabat kemulian ibu tiga kali ganda. Andai berlaku dilema memudaratkan dalam rumah tangga yang memerlukan naka memilih antara ibu atau ayah, ibarat didalan,”diluah mati emak, ditelan mati bapa,” maka telanlah bapa. Muliakan emak.

Buat apa yang kita mampu buat yang terbaik terhadap pasangan. Kena yakin kita adalah pasangan ideal yang Allah tentukan jodoh.

Jangan cakap kasar dengan suami walau kita tahu suami memang bersalah. Pantang orang lelaki dikasari.

Dalam mengingatkan suami bab solat, kalau takut dia terleka maka cakap dengan lembut. Pesan cara positif. Pujuk sekali saja, contoh, “Bang dah Magrib tu...” Tak payah ulang-ulang lagi. Kerja isteri teruskan berdoa.

Untuk suami nerubah jadi baik, isteri kena berubah jadi baik dulu luar dan dalam. Suami lambat-laun akan perasan dan ikut berubah.

Untuk dapat anak yang soleh, fokus kepada pembentukan diri anak, jangan sibuk kaitkan kelemahan anak dengan perangai buruk suami. Ini akan jadi hijab (halangan) ke arah pembetukan peribadi dan kecermalangan anak.

Jangan sibuk cari kesilapan suami. Fokuslah mencari kebaikan yang telah dibuat sebanyak-banyaknya. Kata Sayidina Ali r.a., “Kalau orang sibuk membetulkan kesilapan diri, dia tidak ada masa mencari kesilapan orang lain.”

Kesimpulannya , Sayangi lah kedua ibu bapa kita semasa mereka masih hidup. Kasihanilah mereka saperti nama mereka mengasihani kita semasa kita kecil. Sentiasalah kita berdoa kepada keduanya jika mereka telah tiada lagi di dunia ini. Siapalah kita tanpa mereka berdua.

Catatan ini saya catatkan semula dari Majallah Anis keluaran bulan Mac 2010 sebagai peringatan buat saya sendiri dan rakan-rakan yang melayari blog saya yang tiada kesempatan membeli majallah tersebut. Antaranya catatan ini saya petik dari tulisan, Dr Nik Yusri Musa, Dato’ Dr Mohd Fadhilah Kamsah dan Ustaz Hj Drs. Sapawi Che Mat. Semoga ALLAH memberkati tulisan mereka.