AL-QURAN EXPLORER

Quran Explorer - Interactive Audio Recitations & Translations

HARI KELUARGA DI CAMERON HIGHLANG: 18 & 19 DIS. 2009

Khamis, 1 April 2010

KEPENTINGAN MENJAGA SOLAT

Disediakan Oleh : Siti Sumayyah Sha'arani

Salam sejahtera kepada semua umat Nabi Muhammad sekalian. Semoga di bawah lindungan rahmat Allah. Semoga kita termasuk di dalam golongan yang mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya.

Kali ini marilah kita sama-sama menghayati satu suruhan Allah yang diperintahkan untuk dikerjakan oleh hambaNya iaitu solat. Solat ialah amalan yang mudah dilakukan tetapi sangat susah ditunaikan oleh umat Islam pada masa sekarang. Ini kerana ramai yang menganggap bahawa solat adalah amalan yang remeh sedangkan solat ialah ibadat wajib yang perlu ditunaikan. Malah solat juga adalah rukun Islam yang kedua.

Sebagai umat Islam yang yang mengucap dua kalimah syahadah, kita wajib menunaikan solat. Ini kerana solat merupakan amalan yang diperintahkan oleh Allah S.w.t semasa peristiwa Isra’ dan Mikraj. Solat yang asalnya 50 rakaat telah dikurangkan kepada 5 rakaat atas permintaan Baginda Rasulullah S.a.w.

Di salin dari blog KedahLanie..!!
Dari Anas r.a katanya:”Nabi Muhammad SAW telah bersabda :...(selain dari apa yang telah aku saksikan semasa aku dibawa israk dan mikraj pada malam itu), maka Allah fardhukan (atasku) dan atas umatku lima puluh sembahyang...lalu aku memohon kepada-Nya (supaya dikurangkan lagi bilangan sembahyang itu yang telah pun dikurangkan sehingga tinggal lima sahaja); maka Allah SWT berfirman:”Sembahyang fardhu (sehari semalam) itu tetap lima (dari segi bilangannya) dan ia juga tetap lima puluh (dari segi pahalanya); keputusan-Ku itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti...”

( Hadith riwayat Bukhari )

Mengapa kita harus menjaga solat? Ketahuilah, bahawa solat merupakan amalan pertama yang akan dihisab pada hari kiamat kelak. Jika solat kita sempurna, berbahagialah kita di sana. Jika tidak sempurna, kita akan menerima balasan yang setimpal. Solat juga dapat menutup kekurangan kita pada amalan-amalan yang lain.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman:” Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?” Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Semasa menunaikan solat, segala rukun harus ditunaikan sesempurna mungkin. Rugilah jika kita bersolat hanya sekadar sambil lewa sahaja. Ini kerana ketika solatlah kita berhubung dengan Maha Pencipta. Ketika di dalam rukuk dan sujudlah kita mengabdikan diri kepadaNya.

Firman Allah: “ Sesungguhnya Aku adalah Allah. Tidak ada Tuhan selain Aku. Sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati Aku”. (Thaahaa: 14)

Seharuslah kita sedar kepentingan menjaga solat. Solat mempunyai banyak kelebihan yang kita sendiri tidak terhitung. Solat juga akan menghapuskan dosa-dosa kita yang terdahulu. Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya: “Mana-mana muslim yang apabila masuk waktu sembahyang yang diwajibkan lalu dia pun berwudhuk dengan wudhuk yang baik, melakukan solat dengan sebaik-baiknya begitu juga dengan ruku’nya, maka sembahyang itu merupakan kafarat (memadamkan) dosa-dosanya yang telah lalu, selagi dia tidak melakukan dosa besar.” (Hadith Riwayat Muslim)

Diingatkan lagi mengapa harus kita menjaga kewajipan yang satu ini. Solat dapat mencegah kita daripada perbuatan yang mungkar. Solat dapat menghapus dosa-dosa yang lalu selagi mana kita tidak melakukan dosa besar. Dengan menunaikan solat, ia dapat menghalang kita daripada melakukan perbuatan yang mungkar.

Firman Allah: “Bacalah (selalu) Al-Quran yang telah diwahyukan kepadamu! Dirikanlah solat! Sesungguhnya solat itu menghalang perbuatan keji dan mungkar. Sesungguhnya mengingat Allah lebih besar (faedah dan kesannya). Dan Allah mengetahui apa yang kamu lakukan”. (Al-Ankabut: 45)

Nabi S.a.w pernah bersabda bahawa bahawa kanak-kanak yang berusia sepuluh tahun boleh dipukul jika tidak mahu bersolat. Tetapi bagaimana pula jika orang dewasa juga tidak mahu solat. Apakah mereka tidak merasa malu kerana tidak menunaikan perintah Allah. Tidakkah mereka merasa kerdil di sisi Allah. Allah telah memberikan begitu banyak nikmat kepada hambaNya, tetapi apakah hambaNya tidak dapat membalas rasa syukur dengan bersolat? Sesungguhnya hamba tersebut seorang yang sangat tidak bersyukur dan tanpa rasa malu menghirup nikmat yang Allah berikan, dan tidak mahu menzahirkan rasa syukur tersebut dengan solat.

Jadi sebagai hambaNya, marilah kita sama-sama menunaikan solat sebagai tanda kita bersyukur di atas nikmat yang Allah kurniakan. Solat itu tanda kita mendapat rahmat dari Allah, dan kita bersyukur ke atasnya. Sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya: “Sesiapa yang lupa akan sesuatu solat, maka hendaklah ia mengerjakan solat itu jika ia telah mengingatinya, tiada tebusan lain untuk solat itu kecuali solat yang dilupakannya, sesuai dengan firman Allah yang maksudnya:” Dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.” (Riwayat Bukhari)

Dan ingatlah pula, selain menjaga solat, kita juga hendaklah menjaga tingkah laku kita.

Dari Ibnu ‘Umar r.a katanya:”Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Tidak diterima solat seseorang tanpa suci dan tidak diterima sedekah yang berasal daripada kejahatan (seperti mencuri, menipu, menggelapkan wang, merompak, judi dan sebagainya)” (Muslim)

Allah telah menjanjikan balasan yang setimpal jika kita tidak menjaga solat. Di antaranya kita akan dibangkitkan seperti babi hutan yang hitam di hari Kiamat. Sewaktu di dalam kubur, seekor ular yang hitam akan membelit kita sehingga hancur tulang belulang kita.

Ada satu kisah tentang orang yang meninggalkan solat.

Diriwayatkan bahawa pada suatu hari Rasulullah S.A.W sedang duduk bersama para sahabat, kemudian datang pemuda Arab masuk ke dalam masjid dengan menangis. Apabila Rasulullah S..A.W melihat pemuda itu menangis maka baginda pun berkata,

"Wahai orang muda kenapa kamu menangis?"

Maka berkata orang muda itu, "Ya Rasulullah S.A.W, ayah saya telah meninggal dunia dan tidak ada kain kafan dan tidak ada orang yang hendak memandikannya."!

Lalu Rasulullah S.A.W memerintahkan Abu Bakar r.a. dan Umar r.a. ikut orang muda itu untuk melihat masalahnya. Setelah mengikut orang itu, maka Abu Bakar r.a dan Umar r.s. mendapati ayah orang mudah itu telah bertukar rupa menjadi babi hitam, maka mereka pun kembali dan memberitahu kepada Rasulullah S.A.W,

"Ya Rasulullah S.A.W, kami lihat mayat ayah orang ini bertukar menjadi babi hutan yang hitam."

Kemudian Rasulullah S.A.W dan para sahabat pun pergi ke rumah orang muda dan baginda pun berdoa kepada Allah S.W.T, kemudian mayat itu pun bertukar kepada bentuk manusia semula. Lalu Rasulullah S.A.W dan para sahabat menyembahyangkan mayat tersebut. Apabila mayat itu hendak dikebumikan, maka sekali lagi mayat itu berubah menjadi seperti babi hutan yang hitam, maka Rasulullah S.A.W pun bertanya kepada pemuda itu,

"Wahai orang muda, apakah yang telah dilakukan oleh ayahmu sewaktu dia di dunia dulu?"

Berkata orang muda itu, "Sebenarnya ayahku ini tidak mahu mengerjakan solat."

Kemudian Rasulullah S.A.W bersabda, "Wahai para sahabatku, lihatlah keadaan orang yang meninggalkan sembahyang. Di hari kiamat nanti akan dibangkitkan oleh Allah S.W.T seperti babi hutan yang hitam."

Di zaman Abu Bakar r.a ada seorang lelaki yang meninggal dunia dan sewaktu mereka mengadakan solat jenazah untuknya. Tiba-tiba kain kafan itu bergerak. Apabila mereka membuka kain kafan itu mereka melihat ada seekor ular sedang membelit leher mayat tersebut serta memakan daging dan menghisap darah mayat. Lalu mereka cuba membunuh ular itu.

Apabila mereka cuba untuk membunuh ular! itu, maka berkata ular tersebut, "Laa ilaaha illallahu Muhammadu Rasulullah, mengapakah kamu semua hendak membunuh aku? Aku tidak berdosa dan aku tidak bersalah. Allah S.W.T yang memerintahkan kepadaku supaya menyeksanya sehingga sampai hari kiamat."

Lalu para sahabat bertanya, "Apakah kesalahan yang telah dilakukan oleh mayat ini?"

Berkata ular, "Dia telah melakukan tiga kesalahan, diantaranya :

1.Apabila dia mendengar azan, dia tidak mau datang untuk sembahyang berjamaah.

2.Dia tidak mahu keluarkan zakat hartanya.

3.Dia tidak mahu mendengar nasihat para ulama.

Maka inilah balasannya. (Sumber : http://jaipk.perak.gov.my/ : Portal rasmi Jabatab Agama Islam Perak)

Harus diingatkan, tiada alasan untuk meninggalkan solat kecuali dua perkara. Pertama : perempuan yang didatangi haid dan kedua : orang yang tidak waras. Tetapi realitinya sekarang kita dapat melihat ramai lelaki yang perempuan yang tidak solat. Apakah sekalian lelaki tersebut didatangi haid ataupun telah menjadi gila, dan kerana itu dia tidak mampu melakukan solat? Dan bagaimanakah pula dengan sebahagian kaum perempuan yang tidak solat, adakah mereka didatangi haid buat selama-lamanya atau menjadi gila juga?

Solat harus ditunaikan dengan apa cara sekalipun walaupun ketika sakit. Sabda Rasulullah S.a.w: “ Solatlah sambil berdiri. Jika tidak sanggup, boleh duduk. Jika tidak sanggup juga, boleh sambil berbaring”. (Hadith Riwayat Bukhari)

Jadi wahai sekalian umat Nabi Muhammad, tiada alasan untuk kita meninggalkan solat walaupun kita sakit. Solatlah walau di mana juga kita berada. Janganlah memberikan pelbagai alas an untuk tidak menunaikan solat. Sabda Rasulullah S.a.w : “Meninggalkan solat adalah unsur yang membezakan antara seorang Muslim dan seorang kafir”.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan