AL-QURAN EXPLORER

Quran Explorer - Interactive Audio Recitations & Translations

HARI KELUARGA DI CAMERON HIGHLANG: 18 & 19 DIS. 2009

Ahad, 18 Oktober 2009

ISU KARTIKA DAN SYARIAT ISLAM

Isu Kartika dan Syariat Islam

Malaysia Caning for Beer

Dari kes yang dianggap “peribadi” oleh sesetengah orang, menjadi isu kebangsaan dan dunia. Hukuman ke atas Kartika (foto di atas) bakal meletakkan peminum-peminum arak di kalangan umat Islam di Malaysia dalam keadaan berjaga-jaga, bersembunyi atau meninggalkan terus minuman najis tersebut.

Isu Kartika minum arak dan hukuman denda RM5000 dan 6 sebatan rotan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20/7/2009 menyingkap beberapa hakikat dalam perjuangan mengembalikan Islam di Malaysia.

Arak diharamkan oleh Allah swt pada Tahun 8 Hijrah seperti yang disebut oleh Ibnu Hajar dalam kitab Fathul Bari (syarah Hadis-hadis Sahih riwayat Al-Bukhari). Arak haram diminum samada sedikit atau banyak, kerana Allah mengharamkannya, bukan mengharamkan kesannya (mabuk) berdasarkan firmanNya bermaksud, “Hanyasanya arak, judi, telek, azlam (jenis judi) adalah najis dari amal Syaitan, maka kamu jauhilah ia”. (Al-Quran).

Hukuman sebat ke atas peminum arak termasuk salah satu hukum-hukum Hudud di dalam Islam. “Hudud” bermakna hukuman yang telah ditentukan kadar dan bentuknya oleh Allah swt iaitu ada 7 kesalahan (i) Zina, (ii) Qazaf, (iii) Mencuri, (iv) Samun, (v) Minum arak, (vi) Qisas, dan (vii) Murtad. Selain dari 7 kesalahan di atas, hukumannya diserah kepada Hakim untuk menentukan kadar dan bentuknya, atau dipanggil Takzir.

Mazhab Hanafi mempunyai hukuman tertentu terhadap peminum arak yang sedikit dan terhadap orang yang minum sehingga mabuk. Mazhab-mazhab lain tidak membezakan si pesalah samada dia minum sedikit atau minum sehingga mabuk, berdasarkan hadis, “Setiap yang memabukkan adalah arak. Setiap arak adalah haram” (riwayat Muslim dan Ad-Darulqutny).

Jumhur para Fuqahak menentukan hukuman bagi peminum arak atau pemabuk ialah 80 sebatan, berdasarkan kata Sayyidina Ali ra bermaksud, “Apabila seseorang itu minum, dia mabuk. Apabila dia mabuk, dia hilang akal. Apabila dia hilang akal, dia akan bercakap merapu (seperti menuduh orang berzina). Hukuman ke atas penuduh adalah 80 sebatan”. (riwayat Ad-Darulqutny dan Malik). Hadis ini Hadis Munqatik, tetapi Mausul dari An-Nasaie dan Al-Hakim, dari Thaur, dari Ikrimah, dari Ibnu Abbas.

Berbeza dengan jumhur di atas, ulamak mazhab Asy-Syafie menentukan hukuman peminum arak dan apa sahaja yang memabukkan ialah sebanyak 40 sebatan berdasarkan hadis bermaksud, “Adalah Nabi saw menyebat peminum arak dengan pelepah tamar dan ni’al sebanyak 40 sebatan” (riwayat Al-Bukhari dan Muslim). Sayyidina Ali ra berkata, “Rasulullah saw menyebat 40 kali, Abu Bakar ra menyebat 40 kali, Umar menyebat 80 kali. Semuanya adalah sunnah. Dan ini (80 sebatan) lebih aku sukai” (riwayat Muslim).

Malaysia Caning for Beer

BE060369Kartika Sari Dewi binti Shukarno (foto atas), model separuh masa yang ditangkap minum arak dalam satu serbuan di hotel di pantai Cherating, Pahang. Tak silap saya, nama “Kartika Sari Dewi” adalah nama anak Presiden Sukarno berdarah Jepun. Kisah perkahwinan Sukarno dengan Naoko Nemoto (diubah beliau kepada Ratna Sari Dewi – foto kiri) agak masyhur semasa saya kecil-kecil dulu. Kali ini kedua-dua nama tersebut muncul kembali, jadi masyhur juga tapi dalam isu dan kesan yang berbeza.

Kartika 04

“Jangan ganggu saya”, kata Kartika kepada individu, badan, kumpulan yang cuba mempengaruhi beliau untuk menarik balik akuan bersalahnya meminum arak dan bersedia di rotan sebanyak 6 kali. “Laksanakan hukuman tersebut dengan segera” …” jika boleh dikhalayak ramai sebagai pengajaran kepada orang lain …”, dari riwayat sesetengah media.

Kartika Sari Dewi Shukarnor ditangkap di sebuah hotel peranginan di Cherating, Kuantan dan dijatuhkan hukuman 6 sebatan rotan dan denda RM5000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan. Sebaik hukuman tersebut dijatuhkan, ramai individu, ahli-ahli politik, badan-badan kerajaan dan badan bukan-kerajaan telah datang menemui Kartika dengan kepentingan dan matlamat masing-masing. Kartika sendiri telah mengaku bersalah dan akur dengan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya. Bahkan sambil meminta hukuman tersebut disegerakan, dia juga meminta agar semua pihak jangan lagi mengganggu dirinya dan keputusan yang dibuatnya.

Sedikit pandangan saya dalam isu ini adalah seperti berikut :

(1) Hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Datuk Abdul Rahman Yunus, dalam keterbatasan Enekman-enekman Syarak Pahang yang ada, bukanlah hukuman Hudud yang digariskan oleh Syariat Islam iaitu 40 sebatan atau 80 sebatan. Namun menjatuhkan hukuman Denda RM5000 dan Rotan 6 sebatan, telah menegaskan kepada orang ramai bahawa meminum arak di Malaysia adalah suatu jenayah yang boleh dihukum.

(2) Mereka yang sangat membenci arak melihat hukuman Denda RM5000 dan Rotan 6 sebatan adalah ringan berbanding dengan apa yang ditentukan dalam Syariat Islam. Mereka berharap agar suatu hari nanti, hukuman yang lebih keras akan diaktakan demi kesejahteraan umat di negara ini, bahkan di dunia. Bagi peminum arak pula, mereka terkejut dan takut dengan hukuman yang mereka kira berat dan di luar dugaan.

(3) Apabila individu dan badan-badan membantah hukuman berkenaan, ini bermakna mereka bukan membantah perlaksanaan hukum Hudud dalam Islam kerana hukuman tersebut bukan hukuman Hudud (40 atau 80 sebatan), tetapi mereka membantah terhadap suatu penegasan di mata orang ramai dan dunia, bahawa orang Islam yang meminum arak di Malaysia telah melakukan suatu jenayah yang berat.

Kartika & suami

Kartika dan suami ketika membuat rumah terbuka Hari Raya baru-baru ini.

(4) Puan Hamidah Merican, Pengarah Eksekutif Sisters in Islam (SIS) dan mereka yang seumpamanya, mempersoalkan prosedur hukuman diambil, kerana permintaan SIS agar hukuman tersebut disemak semula telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, dengan alasan hanya Mahkamah Rayuan Syariah sahaja berhak memutus semula hukuman tersebut. Mahkamah memutuskan sesuatu berdasarkan undang-undang yang diputus di Dewan Undangan Negeri yang mewakili masyarakat di Pahang. Jika Kartika sendiri akur dengan hukuman tersebut dan DUN adalah mewakili umat, maka siapakah SIS ? Benarkan SIS mewakili “public interest” seperti yang ia dakwa? SIS sebenarnya mewakili siapa? Adakah SIS mewakili pihak-pihak tertentu di dalam, di luar negara atau kedua-duanya sekali? Diantara hujahan Hamidah lagi ialah, dia khuatir Malaysia akan dilihat oleh masyarakat antarabangsa dari sebagai negara Islam contoh kepada negara yang telah yang telah rosak reputation (nama baik), yang tidak “moderate” (sederhana) dan “progressive” (membangun) !! Adakah membenarkan minum arak memberikan suatu bentuk identiti ”kesederhanaan” dan “pembangunan” kepada sesebuah negara umat Islam di mata Barat dan dunia ?

Begini budaya negara yang dikatakan sederhana dan membangun, yang harus dicontohi oleh Malaysia dan negara-negara umat Islam ?

(5) Bersungguh beberapa pihak mengkritik hukuman rotan, di ketika bersungguh Kartika sendiri meminta agar hukuman rotan segera dijalankan, bahkan di khalayak ramai demi sebagai pengajaran, menunjukkan pihak-pihak pengkritik sebenarnya bukan mengasihani Kartika, akan tetapi khuatir dan takut Syariat Islam sedikit demi sedikit akan mengambil tempat di bumi Malaysia. Apabila Syariat melata, rakyat akan sejahtera dan ini akan menyempitkan lagi musuh-musuh Islam untuk bergerak merosakkan umat dan menguasai mereka.

Kartika 03

Kartika dan anaknya, Kaitlynn, 5 tahun.

(6) Ini adalah Precedence Case (kes sulong) seorang wanita dijatuhkan hukuman sebat disamping denda kerana meminum arak. Ini bermakna, jika berlaku lagi kes-kes seumpama ini, keputusan Datuk Abdul Rahman Yunus dan reaksi masyarakat selepas hukuman itu boleh diambilkira oleh hakim-hakim dan peguam-peguam selepas ini dalam menjatuhkan hukuman yang setimpal (tanpa melebihi apa yang terdapat dalam Enekman Jenayah Syariat di negeri masing-masing yang sememangnya terhad). Yang lebih penting lagi ialah umat Islam diberi kesedaran akan bahayanya jenayah arak yang selama ini dipandang remeh oleh ramai orang. Nabi saw bersabda bermaksud, “Peminum arak adalah seperti penyembah berhala” (hadis marfuk riwayat Al-Bazzar dari Abdullah dari Amru Al-As). Sabdanya lagi bermaksud, “Arak adalah ibu kepada segala kejahatan” (hadis marfuk riwayat An-Nasaie dari Uthman bin Affan). Dalam hal-hal seumpama ini, saya sering menitikberatkan pentarbiyahan umat, iaitu apakan kesan tarbawi (pendidikan diri dan jiwa) yang boleh berlaku dan ditingkatkan dalam diri masyarakat Islam khususnya, dan rakyat Malaysia amnya.

(7) Allah Maha Penerima Taubat. Jika taubat Kartika diterima Allah swt, dia kembali ke fitrah asalnya tanpa dosa kerana arak tersebut. Namun jika kesan dari perbuatan dan taubat Kartika dapat menyedarkan ramai umat Islam di Malaysia dan dunia, moga Allah menunjukkan terus kepada Kartika jalan orang-orang yang mendapat petunjuk.

(8) Kita lihat bagaimana sesuatu umat itu dididik oleh Allah swt bukan sahaja melalui pendidikan formal di surau dan masjid, bahkan melalui isu-isu semasa dan kejadian-kejadian yang tampak di mata. Demikian juga Allah swt mendidik Generasi Pertama para Sahabat yang terdahulu. Kisah-kisah seperti Aisyah ra dan Hadith Al-Ifk, Kaab bin Malik dan Perang Tabuk, Khaulah binti Tsaklabah dan Rasulullah saw dan sebagainya, disamping ayat-ayat Al-Quran yang turun memberi penjelasan, kesemuanya meninggalkan kesan-kesan tarbawi kepada masyarakat. Moga umat kita akan terus dididik melalui ilmu dan isu, serta kesempatan yang diambil oleh para Pendakwah dalam memberikan penjelasan dan pengajaran kepada mereka.

(9) Masyarakat Islam juga harus mengambil kesempatan ini untuk memperkasakan akhlak dan Fiqh Islam dalam hal pengharaman arak diantaranya ialah menyebar dan menjelaskan isu ini kepada orang ramai, membuat lapuran segera kepada pihak berkuasa terhadap orang Islam yang minum arak, melekatkan poster tentang bahaya dan haramnya arak dan seumpamanya. Dizaman handphone berkamera digital hari ini, tidak susah merakam foto orang yang sedang meminum arak dan menghantar foto tersebut melalui mms ke Pejabat Agama Negeri atau pihak berkuasa tempatan. Jika kesedaran ini melata, banyak maksiat terang-terangan boleh dikawal atau terus dibenteras.

(10) Mendesak pihak berkuasa agar menghadkan premis penjualan arak kepada tempat yang sangat khusus, seperti yang sedang berlaku dalam hal penjualan daging babi atau kedai ubat tradisional Cina, contohnya melarang jualan arak di gedung dan pasaraya awam, kedai-kedai awam dan di kawasan ramai orang Islam. Tidak logik orang Islam dilarang meminum arak dan pesalahnya dihukum sebat, dan dalam masa yang sama arak tersebut dijual di mana-mana di depan mata mereka. Dalam hal ini pihak Majlis Perbandaran mempunyai kuasa yang lebih dari yang diperlukan untuk melaksanakan saranan ini.

Ustaz Halim www.inijalanku.wordpress.com

1 ulasan:

  1. hj, cantil jgak si kartika nie bila bertudung kan...hehehe moga2 dia mendpt pengajaran yg berguna utk dia dan kita semua...jauhi arak dan benda2 yg seangkatan dgnnya...

    BalasPadam