AL-QURAN EXPLORER

Quran Explorer - Interactive Audio Recitations & Translations

HARI KELUARGA DI CAMERON HIGHLANG: 18 & 19 DIS. 2009

Rabu, 20 Januari 2010

PENYAMBUNG SILATURAHIM


Gambar hiasan

Bukan dikatakan penyambung silaturahim itu orang yang membalas kunjungan apabila dikunjungi, tetapi yang dikatakan penyambung tali silaturahim itu ialah orang yang apabila diputuskan silaturahim maka ia tetap menyambungnya.

Dari Abdullah bin Amru bin al-As r.a. bahawa nabi bersabda: "Bukanlah orang yang menyambung (silaturahim) itu adalah orang yang membalas (kebaikan orang lain), akan tetapi penyambung itu adalah orang yang jika ada yang memutuskan hubungan ia menyambungnya." (Riwayat Imam Ahmad, Bukhari, Abu Daud, Tirmidzi dan an-Nasaie)

Silaturahim mewujudkan kasih mesra. Orang yang suka bersilaturahim akan disayangi dan dicintai oleh ahli keluarga dan sanak-saudara. Dari Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa bertakwa kepada Tuhannya(ALLAH) dan menyambung silaturahim, nescaya dipanjangkan umurnya, dibanyakkan rezekinya dan dicintai oleh keluarganya." (Riwayat Imam Bukhari)

Rabu, 13 Januari 2010

ANAK SULUNG

Najwa(Okt. 2009) dan Naim

Najwa telah meningkat remaja


Najwa dan adiknya Naim masa kanak2

Najwa (masa kanak2)

Barisan anak sulung aku dan adik2 ku
Dari kiri, Fareqah(1 thn) Najwa, Nurhidayah dan Hafiz(2 thn)1989

Salam,

Begitu cepatnya masa berlalu mengikut peredaran yang telah ditentukan oleh ALLAH, maka begitu juga usiaku telah pun melewati 50puluhan yang boleh dikatagorikan warga emas(Jubli Emas). Aku berkahwin pada 03hb. Dis. 1985 di mana usia perkahwinan ku telah mencapai 25 tahun(Jubli Perak) di mana anak sulung ku telah pun berusia 23 tahun pada bulan Julai akan datang. Alhamdulillah ALLAH telah memberikan kesihatan yang baik setakat ini(masa depan belum tentu), begitu juga dengan rezeki dengan seadanya. Ini bermakna usia ku telah meningkat, tapi hayat ku semakin berkurang dengan amal yang kurang.

Aku sentiasa memohon kepada ALLAH semoga amal ku diterima dan dengan RAHMATNYA aku dimasukkan ke dalam SyurgaNYA apabila roh ku diambil dan jasad ku disemadikan di dalam tanah kelak. Aku juga bersyukur kerana ALLAH telah mengurniakan sepasang cahayamata sebagai penyeri rumahtangga ku yang merupakan satu anugerah dan amanah yang begitu besar terpaksa aku pikul. Anak sulung ku, perempuan dan kedua lelaki. Apa yang nak aku kisahkan di sini ialah tentang peristiwa yang berlaku sebelum kelahiran anak sulung ku yang aku berikan nama, Najwa yang bermakna bisikan, kalau tak silap.

1-Aku dimaklumkan oleh isteriku sebelum kelahiran Najwa, dalam perjalanan dari Kampong Gelong Rambai, Tunjang ke Hospital Besar Alor Setar ambulan yang dinaikinya telah terbabas ke dalam longkang tepi jalan di Bandar Darulaman dan hampir mengalami kemalangan dalam keadaan jalan yang licin semasa hujan. Walau bagaimana pun ALLAH telah menyelamatkan keadaan tersebut di mana tiada apa-apa kecederaan yang berlaku dan isteriku telah selamat melahirkan anak perempuan. Aku bersyukur kerana semuanya telah selamat.

Semasa kejadian tersebut aku masih di tempat kerja di Sungai Petani, di mana aku dimaklumkan hanya selepas kelahiran anak ku pada tengahari tersebut iaitu pada 27hb. Julai 1987 yang lepas. Di peringkat awal pra-sekolah aku telah masukkan ke Taski Abim, peringkat sekolah rendah aliran Ugama di Sek. Agama Daris, dari tahun 1 - 6 dan menengah di Maahad Mahmud, Alor Setar dan ALHAMDULILLAH sekarang dia di tahun akhir Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia jurusan Usulluddin.

2- Setelah menerima berita aku telah menjadi seorang bapa pada hari tersebut, aku bergegas pulang ke kampong di Parit Panjang, Baling untuk memaklumkan kepada keluarga ku(masa tu mana ada lagi talian talipon TM dan kemudahan talipon bimbit lagi). Sampai di kampong aku dimaklumkan bahawa adik perempuan ku(Faridah adik ketiga) sedang bergelut juga untuk melahirkan anak sulungnya. Hanya selepas semuanya selamat aku dimaklumkan bahawa aku mendapat seorang anak saudara lelaki yang diberi nama, Muhammad Hafiz. Sekarang Mohd Hafiz adalah seorang hafiz dan sedang di tahun akhir Darul Quran, Kuala Kubu Baru(Tepat dengan namanya).

Tarikh lahir anak ku,Najwa dan Hafiz adalah sama iaitu, 27hb. Julai 1887 walau pun adik ku berkahwin lewat enam bulan selepas aku(03hb. Dis. 1985). Itulah ketentuan ALLAH yang berlaku adalah atas kehendakNYA jua.

Adik aku, Jamaludin(adik ketiga)yang berkahwin sama dengan aku lebih dulu mendapat anak sulungnya (Nurhidayah)awal enam bulan awal sebelum aku, sekarang di tahun akhir Universiti Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim. Setahun selepas itu adik aku Maznah (adik keempat) telah melahirkan anak sulungnya(Fariqah) juga di Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia tahun ketiga. Aku bersyukur kepada ALLAH kerana anak sulung aku dan juga anak sulung adik-adik aku telah berjaya memasuki universiti dan InsyaALLAH akan menamatkan pengajian masing2 dengan mendapat segulung Ijazah dan menjadi orang berguna kepada Islam dan ummah.

Catatan ini hanyalah sebagai memori untuk diriku yang aku tidak catatkan sebelum ini.

Khamis, 7 Januari 2010

JANGAN BERLAKUN DAN ANUGERAH PELAKUN TERBAIK

Tuesday, January 5, 2010

Anugerah Pelakun Terbaik

Salam.

Di antara taktik dan strategi yg digunakan oleh anak-anak Nabi Ya'kub a.s. (abang-abang Nabi Yusuf a.s.) dalam mempengaruhi Nabi Ya'kub supaya 'mempercayai' bahawa Nabi Yusuf a.s. memang dibaham serigala ialah linangan airmata.

Mudah untuk dialirkan. Kesannya pula berpanjangan.

Lagi banyak gugur airmata, lagi kuat 'kepercayaan' org kpd kita. Dgn makna yg lain, kita berjaya menghidupkan watak.

ALLAH berfirman:
Maksud: `Dan sesudah itu, datanglah mereka mendapatkan bapa mereka pd waktu senja sambil (buat-buat) menangis.'
YUSUF: 16

Ini dipanggil 'Air mata buaya'. Lakunan mantap, mempengaruhi jiwa.

Ada air mata artis. Air mata cari makan. Air mata 'Action!' dan 'Cut!'.

Ada air mata org politik. Menangis sakan di pentas utama. Mengharap simpati untuk kekal lama. Perwakilan ternganga. Sekali lagi, air mata buaya!


Dgn kalimah 'InsyaALLAH' pun, org boleh berlakun. InsyaALLAH nak hadir program, tapi tak hadir pun. Duduk di rumah, bersila depan tv. Bila terjumpa rakan dan teman, terus mencipta 'uzur syari'e'.

Dgn demonstrasi pun org boleh berlakun. Konon membela Islam yg suci, isteri di rumah, kain tudung pun tak terbeli.

Kaki rasuah!


Kaki judi!

Kaki todi dan brandy!

Siam kata pergi, Ipoh kata mali!

Tiba-tiba muncul jadi juara membela Islam. 'Suci lagi menyucikan'. Kalah Air Mutlak!

Ingat amaran ALLAH:
QAF: 18


Maksudnya: 'Tidak ada sebarang perkataan yg dilafazkannya (atau perbuatan yg dilakukannya), melainkan ada disisinya malaikat pengawas yg sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).

Berlakunlah, award dan anugerahnya di akhirat!


Monday, January 4, 2010

Jangan berlakun


Maksudnya: `Dan apabila dikatakan kepada mereka: `Marilah berhakim kpd hukum Al-Quran yg telah diturunkan ALLAH dan kpd hukum Rasulullah,' nescaya engkau melihat org-org Munafiq berpaling serta menghalang (manusia) dgn bersungguh-sungguh dpd menghampirimu.'
AN-NISAAK: 61

Salam

Ayat ini diturunkan di Madinah.

Mendedahkan sikap sebenar golongan Munafiq di Madinah.

Pandai berlakun, berpura-pura di hadapan Rasulullah saw.

Tiba dalam bab hukum-hakam, mereka tidak sanggup untuk mematuhi Rasulullah saw, bahkan berusaha keras siang dan malam untuk menghalang jgn tertegaknya hukum ALLAH.

Pertahan nama ALLAH dari dipermainkan org adalah satu kewajipan.

Menyeru manusia supaya patuh kpd hukum ALLAH, dan melaksanakannya dalam kehidupan bermasyarakat, dgn kuasa yg ada, juga satu kemestian.

Jangan jadi Munafiq, sebab golongan ini memenuhi kerak-kerak api neraka!

Disalin dari blog: Ustaz Halim Nasir - Minda Muslim

Rabu, 6 Januari 2010

DULU BANTAH PENGGUNAAN PERKATAAN ISLAM SEKARANG SOKONG KALIMAH ALLAH

Angkasanuri

Sehari dua ini negara ini cukup meriah dengan demontrasi di sana sini. Semua ini kerana perasaan tidak puas hati terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan akhbar The Herald gereja Khatolik di negara ini menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mingguan mereka.

Dalam isu penggunaan Allah ini saya menyerahkan kepada mereka yang ahli dalam menyelesai dan menjawab segala polemik yang timbul.

Tetapi apa yang berlaku, isu ini seperti sengaja dijadikan kontroversi dan provokasi tanpa nas serta hujah dan kadang kala secara membuta tuli.

Nasihat saya kalau kita kurang jelas dan tidak cukup ilmu dalam membincangkan isu ini lebih baik kita diam. Itu lebih baik daripada bila kita bercakap dan menulis tanpa hujah, bukti dan nas yang akan menyerlahkan kebodohan dan kebangangan diri sendiri.

Itu tak apa lagi, silap hari bulan boleh jejas akidah tak pasal-pasal nanti kena mengucap syahadah semula.

Tetapi kalau tak silap saya ada ramai di kalangan mereka yang kini bersinsing lengan, bertakbir macam nak gempa bumi mempertahankan kalimah Allah adalah mereka yang sama bersungguh-sungguh mendesak nama Islam digugurkan dari mana-mana persatuan dan pertubuhan. tidak lama dulu Tak ke pelik tu? Sokong pertahankan kalimah Allah tapi benci kepada perkataan Islam?

Harap-harap kita tak lupa tentang demontrasi dan memorandum yang mereka hantar untuk mendesak kerajaan ketika itu mengharamkan perkataan Islam.

Jadi kita jangan terperangkap atau diperangkap dengan sentimen dan isu yang sengaja diperbesarkan untuk agenda politik tertentu. Mereka hari ini bangkit kononnya mempertahankan Islam tetapi mereka jugalah yang paling kuat mempersenda dan menentang hukum Islam.

Mereka jugalah yang menarik bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat yang banyak melahirkan ulama dan generasi ilmuan yang mengimarahkan rumah Allah.

Mereka ini jugalah yang memecat ulama dan mufti apabila golongan ini mempertahankan Islam. Mereka jugalah yang menggunakan pelbagai peraturan dan undang-undang yang sengaja direka untuk menghalang tokoh-tokoh agama yang tak sehaluan dengan mereka menyampaikan ilmu di surau dan masjid.

Mereka juga yang 'merampas' surau dan masjid dengan menafikan hak khariah melantik jawatankuasa pilihan mereka. Akhirnya banyak masjid dan surau kini lesu kerana campur tangan politik yang akhirnya mengundang perpecahan umat Islam.

Kes Kartika yang terkini menjelaskan watak sebenar mereka yang sebenarnya benci dan anti Islam. Isu perkataan Islam dijadikan batu loncatan untuk meraih sokongan dan populariti kononnya merekalah juara umat Islam di negara ini tetapi hakikatnya mereka juga dua kali lima bukan sekadar menangguk di air keroh tetapi turut mencampak lumpur.

Dipetik dari:Harakah Daily online


Selasa, 5 Januari 2010

KENDURI MASUK RUMAH BARU

Adik Lie & isteri(rumah baru depa dua orang la)

Adik Hayie & isteri(anak no. 2, depa dua orang yang berendoi)

Majlis berendoi


Atas-dok buat cenderahati untuk jemputan majlis berendoi
Bawah-Adik aku Ghafar dan adik ipar Jamil&2 orang anaknya
Menyediakan masakan lauk pauk

Baby tu anak adik Hayie&Yatie yang nak berendoi


Isteri aku dan anak saudara yang tinggal di Qatar depan rumah. Yang dok depan pintu tak pakai baju, tu ayah aku. Letih kut lepas kemas periuk/belanga/pinggan.

Pandangan sisi-90% nak siap

Pandangan belakang


Pandangan sisi-depan


Pandangan depan



Peringkat 50% nak siap

Pada hari jumaat yang lalu 15 hb. Muharram bersamaan 01 hb. Jan. 2010 telah diadakan satu kenduri naik rumah baru adik aku, Zulkifli (aku panggil adik Lie saja) & isterinya Puan Nurulasyikin yang terletak di kampong Caruk Bakap, jalan Parit Panjang ke Kuala Ketil. Aku tumpang syok juga sebab rumah dia ni, aku mula rekabentuk struktur serta mengawasi dari mula pembinaan, kewangan, pembelian bahan binaan dan pekerja sehingga siap,tapi duit dia yang keluar untuk pembayaran. Tempoh yang diambil untuk menyiapkannya selama satu tahun bermula dari awal Dis. 2008 hingga 31 dis. 2009 akhirnya siap juga, ALHAMDULILLAH.

Sempena kenduri tersebut telah diadakan satu majlis berendoi anak kedua(lelaki) adik aku yang bongsu (adik Hayie) pada sebelah pagi. Adik aku yang sorang ni pandai ambil kesempatan, nak save cost katakan. Sementara majlis bacaan Yasin telah disempurnakan pada sebelah petang, sebaik saja selesai solat Jumaat, bagi memohon kepada ALLAH agar diberikan keselamatan dan kesejahteraan kepada penghuninya daripada pencerobohan manusia-manusia jahat yang tak diundang(penyamun dan pencuri).

Ramai juga tetamu yang hadir selain jiran terdekat, AJK Masjid Parit Panjang termasuk Ustaz Hj Abd Wahab Hasaan(Tuan Imam) yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Baling/Ahli Majlis Daerah Baling. Pada sebelah malamnya pula telah diadakan majlis burdah oleh kumpulan dari kampong tersebut. Mengakhiri pada malam tersebut kami adik beradik seramai 7 orang pakat buat BBQ. Adik aku Maznah dan keluarga tak turut serta sebab depa pi ke Kelantan hantaq anak belajar di sana dan adik Wie yang tinggal kat Kuala Terengganu tak balik pasai sekolah dak nak buka.

Begitulah adanya upacara majlis perasmian masuk rumah baru adik Lie aku dan isterinya, syukur kepada ALLAH semua selesai dengan sempurna.



ISU NAMA ALLAH

Isu Nama Allah: Garis Panduan Penggunaan Nama Allah

maza211.pngOleh : Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin

Di sini saya mencadangkan beberapa perkara untuk diteliti dalam isu penggunaan nama Allah oleh mereka yang bukan Islam.

Seperti mana yang saya sebutkan dalam artikel saya pada tahun 2007 yang bertajuk “Beza Antara Merebut Nama Allah Dan Mempertahankan Akidah” bahawa isu ini lebih bersifat tempatan atau keselamatan setempat, bukan membabitkan larangan secara khusus dari nas-nas Islam. Harap kenyataan ini dibaca bersama dengan artikel tersebut.

Kristian Arab dan juga musyrikin Mekah dahulu juga menyebut Allah sebagai Tuhan. Nas-nas al-Quran dan al-Sunnah tidak membantah hal tersebut. Namun dalam konteks Malaysia, perkara ini agak baru. Ia menimbulkan kegusaran terutama disebabkan berbagai persoalan yang timbul, antaranya apakah maksud yang terselindung di sebalik tuntutan ini?!

Juga di pihak umat Islam sendiri, pendidikan akidah Islam tidak ditekankan secara yang sepatutnya. Kita lebih banyak menumpulkan soal fekah sehingga melupai pokok yang lebih penting iaitu akidah. Inilah sebabnya ramai orang melayu sekalipun bersolat, ada yang mudah terpengaruh dengan khurafat, bomoh, tahyul dan seumpamanya.

Jika kita jelas dalam persoalan akidah, tentu unsur-unsur seperti itu, pengaruh kristianisasi, unsur-unsur agama lain tidak dapat mengelirukan akidah dan pemikiran umat. Isu nama Allah ini sepatutnya menyedarkan kita keperluan menegaskan soal akidah dan batas-batas iman dan kufur.

Untuk mengelakkan ketegangan yang tidak baik untuk negara dan kehidupan masyarakat yang berbilang agama dan kaum, maka saya sekadar mencadangkan beberapa pekara berikut sebagai garis panduan yang patut diambil perhatian oleh pihak kerajaan;

  1. Nama Allah tidak boleh dipanggil melainkan hanya kepada tuhan yang sebenar. Maka dengan itu tiada pihak yang boleh menamakan sekutu-sekutu Allah yang didakwa oleh manusia sebagai tuhan atau perantara tuhan sebagai Allah. Ini seperti memanggil berhala, atau batu, atau patung, atau manusia dengan panggilan Allah. Jika ini berlaku, muslim memang wajar menentang dan membantah. Musyrikin Quraish yang memanggil tuhan sebenar Allah tetapi mensyirikkanNya, pun begitu tidak menamakan berhala mereka dengan nama Allah, sebaliknya menamakan berhala-berhala mereka dengan panggilan al-Lata, al-‘Uzza, Manat dan seumpamanya.

  2. Manusia memang sewajar memanggil tuhan yang sebenar Allah. Ini juga membuktikan ajaran Islam yang memanggil tuhan ‘Allah’ itulah yang benar. Maka, tidak mengapa, bahkan sepatutnya semua manusia tanpa mengira agama menyatakan “Allah yang menciptakan alam”, “Allah yang menurunkan hujan”, “Allah menyuruh kita melakukan kebaikan” dan seumpamanya. Perkataan-perkataan itu benar. Adalah tidak wajar seorang muslim membantah apabila mendengar bukan muslim menyatakan perkara seperti itu. Bahkan al-Quran menyebut: (maksudnya) “Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (Surah al-Ankabut ayat 63).

  3. Jika mereka akur Allah adalah Tuhan sebenar, lalu mereka memanggilnya dalam ibadat mereka maka seorang muslim tidak boleh mengganggu urusan ibadah agama lain. Walaupun Islam mempertikaikan kesyirikan mereka, tetapi kebebasan beribadah adalah hak setiap agama.

  4. Bukan muslim tidak boleh menggunakan nama Allah untuk penyebaran dakyah yang menghina Islam. Ini seperti mempersendakan Allah dalam sebaran kepada masyarakat Islam atau mempermain-mainkan nama Allah dalam tulisan, lukisan, filem dan seumpamanya seperti yang sering berlaku dalam masyarakat Barat.

  5. Bukan muslim tidak boleh memputarbelitkan ajaran Islam dengan mempergunakan nama Allah sebagai umpan. Tindakan provokatif seperti itu wajar diambil tindakan tegas. Adalah menjadi prinsip kemanusiaan yang dipegang oleh Islam bahawa tiada siapa pun boleh memutar belitkan maksud ajaran pihak lain. Orang Islam juga tidak boleh memutarbelitkan ajaran agama lain.

  6. Menyebut nama Allah dalam pergaulan antara muslim dan bukan muslim dengan cara yang hormat dan mengagungkan Allah seperti bukan muslim menyebut kepada muslim “semoga Allah merahmati kamu”, atau “semoga Allah memberi rezeki kepada kamu” adalah diizinkan. Bahkan itulah yang sepatutnya. Nabi s.a.w ketika membuat perjanjian dengan Quraish Mekah juga masing-masing menggunakan nama Allah seperti hadis Muslim: Sesungguhnya Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi s.a.w. Antara wakil Quraish ialah Suhail bin ‘Amr. Sabda Nabi s.a.w : barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan namaMu Ya Allah!)”.

Ini adalah beberapa cadangan saya mengenai hal ini untuk dijadikan garis panduan kepada rakyat Malaysia agar kita tidak merusuh disebabkan isu ini. Sebaliknya, hendaklah setiap pihak menghormati sensitiviti pihak yang lain.


Ahad, 3 Januari 2010

CERAH HATINYA

Cerah hatinya!

Al-HAJJ: 46

Maksudnya: `Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya- dgn melihat kesan-kesan yg tersebut - mereka menjadi org yg ada hati yg dgnnya mereka dapat memahami, atau ada telinga yg dgnnya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yg sebenarnya bukanlah mata kepala yg buta, tetapi yg buta itu ialah MATA HATI yg ada di dalam dada.



Salam.

Habis sampaikan kuliah di Masjid Batu smlm, seorang mu'allaf bernama Haikal telah dijemput untuk menyampaikan ucapan dlm masa 10 minit.

Haikal buta semenjak dilahirkan. Dia dari keluarga berbangsa Cina.

Dia memeluk Islam ketika berusia 15 tahun. Keluarganya tidak membantah.

Dia mengenali Islam sejak berusia 9 tahun lagi, hasil pergaulannya dgn rakan-rakan sebayanya yg beragama Islam.

Sekarang dia sedang menuntut di National Blind school di Afrika Selatan, dalam bidang Syariat Islam dan Bahasa Arab. Sekarang sedang bercuti musim panas. Pulang ke Malaysia.

Antara perkara paling menarik yg diperkatakan Haikal ialah berhubung dgn Ahli Parlimen Islam di Afrika Selatan. Semuanya penghafaz Al-Quran.!

Sedap la bersidang dan berhujah bila Quran dalam kepala.

Mungkin tak da istilah walk out bagi MP di sana! Atau pun, parlimen bertukar jadi tempat sarkas.

Apa pun, kutipan derma mlm tu semuanya untuk Haikal. Dia nak beli lap top braille.

Selamat maju jaya untuk Haikal.

TUAN GURU NIK AZIZ & HAJI DENGAN WANG HADIAH

Tuan Guru Nik Aziz & Haji

Dengan Wang Hadiah

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

nikaziz1.jpg

SOALAN

Apa pandangan ustaz berkenaan seseorang pergi haji dengan wang hadiah orang lain, saya rasa ustaz faham isu ini berkait dengan kenyataan Tuan Guru Menteri Besar Kelantan yang membatalkan hasrat menunaikan haji pada tahun ini (2009) akibat pertikaian dan tuduhan rasuah. Tapi beliau masih bersedia menerima tajaan dari mana-mana pihak tahun hadapan.

JAWAPAN

Hukum asal bagi menunaikan haji dengan wang hadiah adalah HARUS tanpa sebarang khilaf. Walaupun seseorang digalakkan untuk menggunakan wang sendiri bagi menunaikan haji bagi memperolehi maksud haji yang menagih pengorbanan tenaga dari tubuh badan, minda dan wang.

Namun demikian, adalah tidak salah sama sekali sesiapa yang mampu untuk menghadiahkan sebahgain dari kurniaan kekayaannya bagi menaja sesiapa sahaja khsuusnya bagi mereka yang belum menunaikan haji untuk melunaskan rukun Islam yang kelima itu. Demikian juga diharuskan untuk menaja mana-mana alim ulama atau sesiapa juga bagi tujuan yang sama.Lebih digalakkan jika sekiranay yang taja BELUM PERNAH menunaikan Haji.

Namun begitu, hukum asal akan berubah mengikut keadaan dan situasi. Persoalan niat adalah persoalan yang sukar dijadikan sandaran dalam hal ini kerana ia adalah urusan hati yang tersembunyi, diketahui secara tepat hanya oleh Allah swt.

Justeru, jika ada mana-mana ilmuan yang menjawab dalam persoalan ini bahawa semuanya bergantung kepada niat. Sudah tentu begitu di sisi Allah, namun pandang sisi manusia juga perlukan penjelasan yang lebih mendalam sebagai satu panduan.

Menyatakan hukum dengan menyandarkan ia kepada niat semata-mata tidak akan menyelesaikan kekeliruan, malah dibimbangi akan disilap fahami oleh orang awam sehingga menyalahgunakan hujjah tersebut dalam tindakan yang terangan bersalahan dengan displin Islam, seperti berdua-duaan (berdating) di tempat sunyi kemudian mendakwa niat mereka baik dan sebagainya.

APA RASUAH ?

Sebelum kita pergi lebih lanjut, perlu difahami erti rasuah menurut istilah yang diterima pakai oleh perundangan Islam adalah :-

ما يُعطى لإبطال حق أو لإحقاق باطل

Ertinya : Apa-apa yang diberikan untuk membatalkan sesuatu yang benar dan membenar yang batil (melayakkan yang batil) ( Syarh as-Sunnah, Al-Baghawi, 10/88)

Namun demikian, takrif Rasuah menurut perundangan di Malaysia pula adalah lebih pelbagai dan boleh dibaca dari tulisan saya yang lalu di SINI .

JADI APA PANDUAN HUKUM DALAM HAL INI?

Bagi memahami perubahan hukum dalam hal ini, beberapa dalil dan situasi terpilih berikut boleh dijadikan rujukan.

  • 1) Hadiah buat seseorang berpangkat

من استعملناه على عمل فرزقناه رِزْقًا، فما أخذ بَعْدُ فهو غلولُ

Nabi Muhammad s.a.w bersabda : " Barangsiapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah ghulul (pengkhianatan) " ( Riwayat Abu Daud, no 2943, Hadith Sohih ; Ma'alim as-Sunan, Al-Khattabi, 3/8 cet Dar Kutub Ilmiah)

  • 2) Sebuah Hadis :

استعمل النبي صلى الله عليه وسلم رجلاً من الأزد يُقال له ابن اللتبية على الصدقة، فلما قدم قال: هذا لكم وهذا أهدي لي، قال: فهلا جلس في بيت أبيه أو بيت أمه، فينظر أيُهدى له أم لا.... ثم قال: "اللهم هل بلغت ثلاثًا"

Ertinya : Nabi bersabda kepada seorang gabenornya bernama Ibn Lutbiah yang telah ditugaskan mengutip zakat kabilah Azad, maka apabila ia selesai kerjanya dan kembali berjumpa Nabi, lalu ia menyimpan sebahagian dari wang yang dikutip sambil berkata :

"Ini untukmu (bahagian untuk Islam) dan ini untukku yang diberikan sebagai hadiah (oleh orang ramai), maka jatuh murka Baginda sambil bersabda

" Ketahuilah, pergilah kamu duduk di rumah bapamu atau ibumu, sehingga datang kepadamu hadiahmu, jika kamu benar-benar betul (layak mendapat hadiah)

"Ya Tuhanku, adakah telah aku sampaikan (kepada umatku akan hal ini) sebanyak tiga kali..(Al-Bukhari, no 2597 & Muslim no 1832)

3) Di dalam sebuah riwayat disebutkan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam mengutus Abdullah bin Rawahah berangkat ke Khaibar (daerah Yahudi yang tunduk kepada kekuasaan Islam) untuk menilai hasil buah kurma di daerah itu kerana Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam telah memutuskan bahawa hasil bumi Khaibar dibahagi dua; separuh untuk kaum Yahudi sendiri, dan yang separuh lagi diserahkan kepada kaum Muslimin.

Ketika Abdullah bin Rawahah sedang menjalankan tugasnya, orang-orang Yahudi datang kepadanya membawa berbagai perhiasan dan berkata kepada Abdullah:

"Perhiasan ini untuk anda, ringankanlah kami dan berilah kepada kami lebih dari separuh," Abdullah menjawab, "Wahai kaum Yahudi! Demi Allah kalian memang makhluk Allah yang paling aku benci. Apa yang kalian lakukan ini justeru membuatkan diriku lebih membenci kalian. Rasuah yang kalian tawarkan itu adalah barang haram, dan kami kaum Muslimin tidak memakannya!" Mendengar jawaban tersebut mereka (Yahudi) berkata, "Kerana (sikap) inilah langit dan bumi tetap tegak!" [Imam Malik, Al Muwattha':1450].

4) Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda :

"Hadiah yang diberikan kepada para penguasa adalah suht (haram) dan rasuah yang diterima hakim adalah kufur" [Riwayat Ahmad].

BAGAIMANA KES MENTERI BESAR KELANTAN?

Bagi kes yang melihatkan Menteri Besar Kelantan, seorang tokoh agama yang dihormati lagi dikasihi oleh kebanyakan rakyat Kelantan dan usahawannya. Jika dilihat dari sudut rasuah menurut istilah Syariah, kemungkinan besar tajaan ini tidak berkait dengan ciri utama rasuah menurut Islam.

Berkaitan isu WANG KHIANAT pada pandangan Islam pula, ia juga mungkin TIDAK JATUH kepada beliau, jika benar-benar semua hadiah yang diberikan itu tidak bersangkut paut dengan jawatannya tetapi hanya kerana dirinya adalah seorang ulama.

PENGECUALIAN sebegini memang wujud dari teks-teks fatwa silam sebagaimana berikut

يجوز لولاة الأمور والعُمَّال قبول الهدية ممن كان يهدي إليهم قبل توليتهم مناصبهم، كهدية من قريب أو صديق بشرط أن لا تزيد قيمة هذه الهدية عما كان يُهْدى إليهم قبل تولي مناصبهم ولا تكون لها أيَّة علاقة بأعمالهم.

Ertinya : Harus hukumnya bagi seseorang pemerintah dan pegawai (pentadbir) menerima hadiah dari pemberian hadiah itu bermula semenjak sebelum ia memegang jawatannya, seperti hadiah hubungan kerabat atau rakan, namun ia dengan syarat NILAI HADIAH YANG DIBERI (SELEPAS NAIK JAWATAN) ADALAH SAMA dengan sebelum naik jawatan, serta MESTILAH HADIAH TERSEBUT TIDAK MEMPUNYAI ikatan dan kaitan sama sekali dengan jawatannya ( kuasanya) [1]

Imam AN-Nawawi pula menegaskan :-

وقد بين صلى الله عليه وسلم في نفس الحديث السبب في تحريم الهدية عليه وأنها بسبب الولاية، بخلاف الهدية لغير العامل، فإنها مستحبة،

Ertinya : Nabi s.a.w telah menjelaskan dalam hadis yang sama (di atas) bahawa sebab pengharaman terima hadiah sebegitu adalah disebabkan oleh JAWATANNYA, berbeza dengan hadiah yang diberikan kepada bukan pegawai yang mana ianya adalah digalakkan. ( Syarah Sohih Muslim, 6/462 )

WALAUPUN BEGITU

Kesimpulannya, dalam kes Tuan Guru Dato' Nik Abd Aziz Nikmat, saya dan ramai lagi yakin bahawa ia tiada unsur rasuah mahupun wang khianat. Ini kerana saya yakin, walaupun beliau tidak memegang jawatan Menteri Besar dan duduk di rumah sahaja sekalipun, masih ramai yang berlumba-lumba untuk memberikannya hadiah tajaan Haji dan lain-lain disebabkan kelebihaan ilmu dan amalan yang terzahir pada diri beliau dan bukan pada JAWATANNYA, sehinggakan seliparnya juga dicuri kerana ‘berkat'. [2]

Namun demikian, kita tidak boleh memandang hanya kepada mereka yang bersangka baik sahaja. Apa yang perlu diteliti kini, semua menyedari bahawa beliau bukan semata-mata seorang tokoh agama, namun juga adalah tokoh politik dan ketua eksekutif pentadbiran bagi sebuah negeri.

Justeru, atas dasar tersebut, menurut penilaian sederhana saya, adalah LEBIH WAJAR untuk beliau menolak sebarang tawaran hadiah haji sedemikian selagi mana beliau masih memegang jawatan Menteri Besar. Pandangan saya ini berdasarkan banyak aspek dan sandaran, sebahagiannya adalah seperti berikut :-

1) Mengelak tohmah dan sangka buruk yang memudaratkan.

Sekiranya kita menyusuri perbahasan hukum-hukum Fiqh di dalam kitab-kitab utama yang silam, akan didapati bagaimana beberapa amalan yang HARUS pada hukum asalnya menjadi HARAM atau ditegah akibat daaripada wujudnya unsur ‘tohmah' dan ‘kebolehan membawa sangkaan buruk' . Cukuplah kita ambil satu contoh dalam bab ini :

Imam Al-Kasani ketika membicarakan persoalan adab seorang qadhi (adab al-Qadha) menghurai :

ومنها : أن لا يقبل الهدية من أحدهما ، إلا إذا كان لا يلحقه به تهمة .

Ertinya : Sebahagian darinya (adab seorang qadhi) : Adalah tidak menerima hadiah dari salah seorang darinya (dua pihak yang sedang dibicarakan) kecuali jika ia tidak membawa kepada sebarang tohmahan (tuduhan buruk). (Bada'i As-Sona'ie, 7/10)

Walaupun teks di atas bukan dalam konteks menteri besar atau pemerintah, namun maqasidnya jelas, ia berkait dengan mereka yang memegang kuasa. PEMEGANG KUASA MESTILAH DIYAKINI DAN DILIHAT BERSIH OLEH ORANG-ORANG YANG BERGANTUNG DI BAWAHNYA, jika dia seorang hakim atau qadhi seperti dalam teks di atas, dia mestilah diyakini TIDAK BERAT SEBELAH oleh kedua-dua pihak di dalam mahkamahnya.

Jika dia pemerintah, hal yang sama juga terpakai, IAITU DIA MESTI DIYAKINI BERSIH DAN MAMPU MEMBERIKAN KEADILAN KEPADA RAKYAT BERDASARKAN KELAYAKAN DAN BUKAN ATAS PENGARUH-PENGARUH SAMPINGAN SEPERTI KERABAT, HADIAH YANG DIBERI DAN SEBAGAINYA.

Justeru, dalam hal Menteri besar Kelantan, umumnya mungkin yakin dengan peribadi beliau dalam menjaga keadilan. Namun perlu diingat bahawa di bawah bidang kuasa seorang Menteri Besar, terdapat pelbagai pegawai, pelbagai jenis kuasa untuk menentu dan memutuskan keputusan khsuusnya melibatkan penganugerahan jawatan dan kontrak. Sebahagian besarnya memerlukan kepada nasihat dan rundingan pegawai-pegawai ini terlebih dahulu sebelum dilulus oleh Menteri Besar. Maka sejauh mana pula, orang ramai boleh yakin kepada pegawai-pegawai ini sebegaimana keyakinan mereka kepada Menteri Besarnya.?

Saya kira, ramai orang di bawah beliau tidak mampu menyamai krebiliti, ketahanan sehebat beliau dan keyakinan ramai kepada pegawainya juga tidak seperti keyakinan kepada Menteri Besar Kelantan.

Tatakala itu, orang ramai akan menggandaikan si pemberi hadiah akan dikenali oleh para pegawai beliau, yang sebahagiannya turut mempunyai kuasa tertentu, KEADAAN INI TIDAK DINAFIKAN AKAN MEMBAWA TOHMAHAN DAN SANGKA BURUK RAMAI.

Ia boleh membawa sangkaan ramai, BAHAWA PEMBERI HADIAH TAJAAN HAJI INI MENDAPAT LEBIH KEISTIMEWAAN BERBANDING YANG TIDAK MEMBERI HADIAH, Paling kurang, ia menjadikan syarikatnya LEBIH DIKENANG DAN DIINGATI OLEH PARA PEGAWAI. Hasilnya, mungkin lebih mudah untuk memperolehi tawaran kontrak tertentu.

Saya tidak menuduh, saya cuma menyedarkan bahawa ruang sangkaan dan tohmahan itu sangat boleh untuk terbuka. Atas asas itu, saya berpandangan AMAT WAJARLAH Menteri Besar Kelantan untuk MEMBATALKAN MENUNAIKAN HAJI TAHUN INI DENGAN BERBEKALKAN WANG DAN PAKEJ TAJAAN. Namun beliau tentunya MASIH boleh pergi dengan wangnya sendiri tanpa perlu membatalkan terus.

Selain itu, saya juga berpandangan tajaan haji atau umrah di tahun-tahun akan mendatang juga wajar ditolak. Berikanlah sumbangan itu kepada alim ulama lain yang tidak berjawatan rasmi atau pembuat keputusan yang melibatkan wang dan kontrak, yang tidak mendatangkan tohmah dan fitnah dan sangka buruk. KECUALI jika ia dilakukan secara tertutup, ia terpulang kepada semua yang terlibat untuk menjaga displin hukum.

Nabi s.a.w bukan sahaja melarang umatnya bersangka buruk, namun kita juga diajar oleh baginda nabi s.a.w untuk CUBA SEDAYA UPAYA MENGELAKKAN diri dari membuak ruang yang boleh menyebabkan diri kita disangka buruk. Itulah konsep sad az-Zara'i. (penutupan pintu-pintu yang boleh membawa kepada haram oleh diri dan kepada diri).

2) Menolak kemudaratan adalah didahulukan berbanding mendapatkan kebaikan

Ia jelas dari kaedah Fiqh yang cukup terkenal. Benar, menunaikan haji membawa kebaikan kepada penderma dan yang menerima, namun jika ia sehingga menyebabkan nama baik kerajaan pimpinannya rosak akibat dari itu. Wajarlah ia dijauhi. Tidak kiralah mudarat itu akibat sangka buruk, fitnah atau dusta, namun ia tetapi membawa mudarat yang jelas. Lihatlah sekeliling dan media yang sedang mencipta sesuatu buruk dan mudarat dalam isu ini.

3) Maslahat umum didahulukan ke atas maslahat individu (atau yang lebih kecil)

Benar, menerima tajaan hadiah haji itu adalah sebuah kebajikan dan pahala buat dipenderma, pahala dan ganjaran juga bagi yang menerima. Namun jika ia jelas boleh membawa mudarat seperti tuduhan rasuah yang sehingga boleh memudaratkan kemaslahatan yang lebih ramai, bukankah ia lebih baik dijauhi. Si pemberi masih boleh menderma kepada ilmuan lain bagi mendapatkan pahala yang diinginya.

AKHIRNYA

Kesimpulan jawapan saya kepada persoalan yang dikemukakan, SAYA AMAT BERSETUJU untuk Menteri Besar Kelantan menolak tajaan hadiah bagi mengerjakan Haji pada tahun ini, namun beliau masih boleh pergi dengan wangnya sendiri tanpa perlu membatalkan terus.

Saya juga merasakan, TIDAK WAJAR untuk beliau menerima sebarang tajaan haji di tahun-tahun hadapan selagi beliau masih memegang jawatan Menteri Besar atas sebab-sebab yang dinyatakan di atas.

Sekdar itulah pendapat saya secara ringkasnya, ia bukan penentuan hukum, ia hanyalah sebuah pandangan dan nasihat yang boleh diterima atau ditolak oleh sesiapa sahaja. Perlu disedari juga, pandangan dan jawapan kepada soalan di atas bukan sahaja terpakai kepada Menteri Besar Kelantan ketika ini, namun bagi semua penjawat awam, swasta dan ahli politik dari mana-mana jua parti politik.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

17 Nov 2009